Artikel Pilihan

WRC 2019 : SEBASTIAN OGIER KEMBALI BERSAMA CITROEN, SEBASTIAN LOEB SERTAI HYUNDAI

Sempena tahun baharu ini, sedap juga Brader Karrager bawakan berita perihal dunia rali antarabangsa. Untuk yang tidak mengetahui, Sebastian Ogier sekali lagi membuktikan keunggulan beliau apabila mempertahankan kejuaraan WRC 2018 bersama kereta Ford Fiesta WRC buat kali kedua berturut. Dan ianya adalah kejayaan kali keenam berturut – turut buat Sebastian Ogier.

BACA : KEMENANGAN BERSEJARAH SEBASTIAN LOEB DALAM WRC SEPANYOL

BACA : WRC 2018 MONTE CARLO – SEBASTIAN OGIER MUNCUL JUARA

Untuk musim 2019, pusingan pertama bakal berlangsung pada hujung bulan ni di Monte Carlo, beberapa pasukan telah pun membuat persiapan awal. Dan beberapa pertukaran pemandu adalah lumrah dalam dunia rali juga. Penyandang juara, Sebastian Ogier membuat keputusan yang agak mengejutkan apabila memilih untuk kembali ke pangkuan pasukan asalnya, Citroen bersama juruarahnya yang kekal setia, Julian Ingrassia.

Ironinya, ke pangkuan semula pemandu handalan ini diharapkan mampu mengulangi pencapaian cemerlang sewaktu merangkul kejuaraan JWRC pada tahun 2008 dahulu. Sudah tentu pasukan Citroen sendiri mendambakan kemenangan di pentas WRC setelah agak hilang punca dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Menariknya, pasukan Citroen tampak begitu serius untuk kembali mencabar dalam saingan musim ini apabila turut mengikat pelumba Esapekka Lappi yang menyertai pasukan Toyota dua musim sebelum ini. Nampak macam suatu gabungan yang mantap. Tapi itulah, menurut kata Sebastian Ogier, kereta C3 WRC yang telah berpeluang mengujinya di Portugal, mengakui masih banyak yang perlu dilakukan oleh Citroen bagi memastikan mereka mampu mencabar, sekali gus membuahkan kejayaan.

Manakala, pasukan Hyundai juga tidak mahu ketinggalan dalam menyahut cabaran apabila menyambar pelumba rali lagenda, Sebastian Loeb bagi menyertai pasukan selama dua tahun. Walau bagaimana pun, hasrat untuk melihat Sebastian Loeb mencabar kejuaraan WRC mungkin tidak menjadi nyata, apabila dikhabarkan bahawa beliau hanya akan menyertai enam perlumbaan sahaja berbanding 14 pusingan.

Pun begitu, bukanlah bermakna suatu tugasan mudah buat pelumba yang pernah memenangi sembilan kali kejuaraan ini. Sebastian Loeb terlebih menguji tempat duduk di pengkalan, Alzenau, Jerman. Sebastian bakal menyertai perlumbaan Paris Dakar sehingga 17 Januari ini. Dan recce untuk rali Monte Carlo pula dijadualkan pada 21 Januari. Singkat sangat masa yang tinggal untuk test. Tapi apa ada hal. Nama pun lagenda, Brader Karrager pasti, Sebastian Loeb pasti dapat menyesuaikan diri dengan kereta keluaran negara K-Pop ini.

 

Google ads

B K

Back to top button