
SANGGUP TEBUK DINDING KONKRIT NAK CURI PANIGALE V4R. KERUGIAN CECAH RM189K
Memang ramai yang berangan untuk memiliki sebuah Ducati, terutamanya Panigale dan Streetfighter V4.
Ketika ramai antara kita hanya berangan, sekumpulan penjenayah di Winchester, Hampshire, U.K mengambil keputusan untuk mencurinya.
Mereka juga nampaknya berusaha bersungguh-sungguh dengan memecahkan dinding konkrit kedai yang dikenali sebagai Moto Rapido Ducati.

“Sedikit kejutan pagi ini. Kedai dipecah masuk, mereka sebenarnya pecahkan dinding di bahagian bawah tangga yang tidak dapat dirakam oleh kamera CCTV dan sistem penggera.
“Sebuah V4 dicuri. Tiada guna kongsi perinciannya (nasihat polis 😂🤷🏻♂️). Polis pun nampak langsung tidak berminat. Anda perlu kagum dengan usaha pencuri ini! Tiada siapa sanggup bersusah-payah macam ini untuk mencuri sebuah Yamaha atau BMW,” tulis pemilik kedai Moto Rapido Ducati, Steve Moore.
Kecurian yang dilihat dirancang rapi rapi itu mengakibatkan kerugian sekitar £35,000 (RM189,700).
Menurut laporan Hampshire Chronicle, V4R sepatutnya tidak menjadi sasaran pencuri. Tetapi sebuah lagi motosikal yang dikatakan mempunyai tiga kali ganda harga V4.

Tidak lama kemudian, Moore memberitahu bahawa ada pengedar motosikal lain mengubunginya. Mereka kata motosikal dicuri menggunakan cara yang sama.
CCTV yang dipasang di bangunan sebelah menunjukkan pencuri-pencuri itu merosakkan sebuah kamera.
Mujurlah Ducati segera menghantar motosikal gantian kepada Moto Rapido untuk diserahkan kepada pelanggannya.