Motosikal

PRESTASI ENJIN BAHARU KTM RC16 DAH MACAM DUCATI: POL ESPARGARO

Selepas enam hari menjalani sesi ujian pra-musim di Litar Sepang, kem factory KTM nampaknya berpuas hati dan gembira dengan peningkatan prestasi jentera RC16 mereka. 

Mendapat khidmat daripada pelumba ujian Dani Pedrosa dan Mika Kallio, kesemua pelumba KTM iaitu Pol Espargaro, Brad Binder serta pelumba pasukan Tech3, Iker Lecuona dan Miguel Oliveira kini semakin bersemangat untuk mencatat keputusan lebih baik pada musim 2020. 

Espargaro sememangnya menjadi pelumba KTM yang paling menyerlah. Dia ialah satu-satunya pelumba KTM yang pertama berjaya berada di podium. Musim 2019 nyata memihak kepadanya. Dalam sesi ujian, dia konsisten untuk berada dalam kelompok 10 pelumba teratas. 

“Ini merupakan satu ujian yang berjaya buat kami. Saya sangat gembira dengan penambahbaikan yang telah dibuat. Sebelum ini, jentera KTM hanya laju di peringkat awal perlumbaan dan kemudian semakin perlahan. Kini situasi sudah berubah, kami sudah beraya menyelesaikan masalah tersebut,” kata Espagaro. 

Antara inovasi yang diterapkan ke atas RC16 ialah swingarm baharu. Ia membuatkan jentera lebih stabil ketika tayar semakin haus. Enjin baharu pula menawarkan lebih kuasa dan prestasi baik sepanjang perlumbaan. Pelumba itu mengakui Sepang bukanlah litar terbaik untuknya. Tetapi catatan masa yang memberangsangkan di sana sangat penting buat pasukan KTM. 

“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami sentiasa melihat Ducati sebagai penanda aras, walaupun jentera untuk pasukan satelit mereka. KTM kini ada enjin baharu dan sentiasa seiring dengan kelajuan jentera Ducati. Ini salah satu aspek penting dalam ujian. 

“Saya rasa kami benar-benar bersedia untuk musim ini. Saya tidak berasa sebegini pada permulaan musim sebelum ini. RC16 baharu ini mengejutkan saya. Memulakan perlumbaan dengan baik sangat penting kerana berdasarkan kepada pengalaman sebelum ini, kami selalu berdepan dengan masalah. 

“Sudah pasti segalanya boleh berlaku dalam perlumbaan. Apa pun, kami perlu kekal fokus untuk mencatat kemenangan,” kata Espargaro optimis. 

Google ads
"
"
Back to top button