Artikel Pilihan

SATU KETIKA DULU, MAZDA 626 INILAH PENCABAR MITSUBISHI EVO

Mazda Performance Speed atau ringkasannya MPS adalah satu divisi khas dari Mazda yang bertindak sebagai tuner untuk menaiktaraf kereta jenama Mazda ke arah prestasi tinggi. Mazda MPS bertiondak memberi saingan kepada Mitsubishi Evo dan Subaru yang merupakan sebuah jenama yang sinonim dengan perlumbaan rali.

Penulis pernah terbaca dalam satu majalah permotoran berkenaan kisah Mazda 626 MPS ini. Bos Mazda ketika itu (lupa nama) bakal bersara dalam masa beberapa bulan lagi dan antara impiannya yang belum tercapai ialah untuk menghasilkan sebuah kereta Mazda prestasi tinggi bagi menyaingi jenama Mitsubishi Evo. Hasrat itu disuarakan kepada pihak pengurusan yang membalas “agak gila juga nak buat kereta baru dalam masa beberapa bulan sahaja”.

Namun untuk tidak menghampakan bos lama mereka, jurutera Mazda MPS bertungkus lumus menyiapkan projek ini yang diberi nama Mazda 626 MPS. Ia menggunakan kerangka asal Mazda 626 tapi telah dipertingkatkan keupayaannya. Enjin V6 2500cc telah diberi tambahan 2 unit turbo bagi mengekstrak lebih banyak kuasa. Enjin dengan kod KL-ZE V6 ini menghasilkan 280 kuasa kuda dan 392Nm tork. Intercooler besar dipasang di belakang bampar, dengan ekzos sport dan sistem ambilan udara yang besar.

Kuasa dihantar pada transmisi 5 kelajuan dengan ciri AWD bagi cengkaman yang bagus. Mazda 626 MPS ini menghasilkan pecutan 0-100km/j dalam masa 6.5 saat sahaja dan halaju tertinggi kereta ini ialah 240km/j. Berbeza dari model asal, model MPS ini nampak lebih sporti dengan bodykit yang lebih besar termasuklah membantu proses penyejukan enjin 2500cc tadi. Wheel arch lebih lebar digunakan untuk meletakkan tayar yang lebih lebar ke luar cesi dan rim 18 inci digunakan.

Bagi memastikan Mazda 626 MPS ini mendapat kuasa brek yang cukup, brek 6 pot bersaiz 345mm digunakan pada roda depan dan brek 4 pot 315mm pada roda belakang dipasang. Mazdaspeed juga mengenakan suspensi prestasi tinggi boleh laras pada model ini dengan 12 tetapan bagi penyerap hentak. Kelemahannya ialah model ini menjadi berat pada 1380kg, berat sedikit dari Mitsubishi Evo dan Subaru namun dengan kuasa yang hampir sama

Mazda 626 MPS ini membuat penampilan sulung pada pameran TAS (Tokyo Auto Show) tahun 2000 namun berdasarkan kajian kebolehpasaran oleh Mazda mendapati sambutan terhadap model sport ini kurang mendapat sambutan. Sebagai syarikat kecil, membelanjakan sejumlah wang yang besar tanpa pulang modal bukan satu perkara yang boleh diambil mudah. Jadi Mazda tidak meneruskan model ini sebagai model produksi dan hanya kekal sebagai sebuah kereta konsep.

Google ads
Back to top button