Artikel Pilihan

SEGALANYA TENTANG DAIHATSU BOON X4

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini kita akan membincangkan tentang sebuah jentera yang menjadi asas pembangunan jentera legenda tempatan iaitu Perodua Myvi. Jentera yang dimaksudkan adalah Daihatsu Boon X4.

Daihatsu Boon generasi pertama ini menjadi model “Rebadge” bagi jentera seperti berikut :-

  • Toyota Passo
  • Daihatsu Sirion (2nd Gen)
  • Subaru Justy
  • Perodua Myvi

Kita mula dulu tentang pembangunan jentera ini. Jentera ini dibangunkan oleh Daihatsu dimana pembangunannya diketuai oleh ketua jurutera Toyota iaitu Tetsuya Tada. Siapa Tetsuya Tada ni ? Ini lah orang yang bertanggungjawab membangunkan projek Toyota GT86 dan Toyota Supra terbaru. Maka mendonialah pemilik Perodua Myvi 1st model semua.

Jentera ini memasuki pasaran pada tahun 2004 di Jepun dengan kod M300. Di dalam barisan varian Daihatsu Boon, ada satu varian yang menjadi kegilaan ramai iaitu Daihatsu Boon X4.

Jentera ini diberi kod M312S. Apa yang menarik tentang jentera ini ? Banyak Tuan Tuan ! Kita selusuri satu persatu.

Perkara pertama yang menarik tentang jentera ini adalah punca kuasanya iaitu enjin. Jentera ini dipacu oleh enjin 4 Silinder Sebaris berkod KJ-VET yang bersesaran 939cc(1.0L). Enjin ini pada asasnya merupakan versi “Destroke” enjin K3-VET yang sangat popular. Kesan “Destroke” ini menjadikan sesarannya lebih kecil dari K3-VET.

Binaan enjin ini menerima unit blok enjin yang diperbuat daripada “Cast Iron” dan mempunyai nilai Bore x Stroke pada nilai 72mm x 57.5mm. Nilai ini menjadikan konfigurasi enjin ini sebagai enjin “Oversquare”. Konfigurasi ini membenarkan enjin mencapai tahap RPM tinggi tanpa membebankan komponen utama seperti “Crankshaft”.

Nisbah Mampatan(Compression Ratio) pula berada pada kadar 8.3:1. Memang rendah. Unit kepala silinder dilengkapi dengan sistem “Dynamic Variable Valve Timing”(DVVT).

Yang paling utama, enjin ini menerima sistem pendesak turbo. Ia menerima unit turbo IHI RHF4 VQ41. Berapa jumlah “Stock Boost” tidak dinyatakan. “Boost” yang dihasilkan kemudian disejukkan dengan unit “Intercooler Top Mount”. Disebabkan kedudukan “Intercooler ini diatas, bonet hadapan jentera ini mempunyai “Scoop” bagi membolehkan udara mengalir melaluinya.

Dengan binaan ini, enjin ini menghasilkan 131hp pada 7,200rpm dan daya kilas sekuat 132Nm pada 3,600rpm. Kuat ni Tuan-Tuan. Kalau diikutkan logik, enjin ini jauh lebih berkuasa dari enjin Perodua Myvi Lagi Best. Cuma di Malaysia, kuasa yang dihamburkan Myvi Lagi Best berada di luar logik akal manusia.

Kuasa yang hebat ini kemudiannya dihantar ke klac dan kotak gear manual 5-kelajuan. Nisbah gear adalah seperti berikut :-

Gear 1 : 3.090
Gear 2 : 2.055
Gear 3 : 1.550
Gear 4 : 1.160
Gear 5 : 0.878
Gear Reverse : 3.142
Final Drive : 5.545

Tidak terhenti sampai disini, kuasa seterusnya dihantar ke tayar hadapan dan belakang sekaligus ! Ye Tuan-Tuan. Jentera ini mempunyai konfigurasi 4WD. Jalan 4 kaki ! Bukan 2 kaki ! Bukan itu sahaja, unit “Differential” dilengkapi dengan “LSD” ! Bukan calang-calang.

Hasil daripada binaan enjin, kotak gear dan konfigurasi 4WD, jentera ini mampu memecut dari 0-100km/h pada kadar 8.5 saat sahaja. Kelajuan tertinggi direkodkan adalah pada 174km/h. Laju ni Tuan-Tuan. Nak apa lagi ?

Angka-angka tersebut dapat dicapai kerana jentera ini hanya seberat 980kg sahaja. Tak sampai 1 tan pun beratnya. Sebabtu macam pelesit perginya.

Walaupun begitu, kadar penggunaan bahanapinya tidaklah tinggi iaitu pada kadar 6.8L/100KM. Agak jimat. Kapasiti tangki bahanapi jentera ini adalah 38 Liter. Oleh yang demikian, setangki penuh boleh memacu jentera ini berjalan sejauh 558km. Boleh tahan !

Dalam dunia permotoran, jentera ini juga digunakan untuk perlumbaan Rally di Jepun. Jentera ini digunakan oleh pelumba seperti Masatoshi Ogura, Takatoshi Yamaguchi, Airou Adachi dan Yasuo Sekine.

Jadi inilah dia Tuan-Tuan. Sebuah jentera “Flagship” daripada Daihatsu dan juga merupakan asas kepada Perodua Myvi 1st Model. Disebabkan itulah ramai pemberani-pemberani di Malaysia mengimport masuk “Halfcut” jentera ini. Ada je peminat yang sanggup melakukan projek “Convert” Perodua Myvi mereka ke Daihatsu Boon X4. Kaya-kaya mereka ni Tuan-Tuan. Umum mengetahui “Halfcut” Daihatsu serta jajan-jajan dari Jepun harganya saling tak tumpah seperti dibuat di Tel Aviv.

Google ads
Back to top button