Buletin

HONDA LANCAR CIVIC GEN-11 DI THAILAND. ENJIN TURBO 175HP, HONDA SENSING, AKSESORI MODULO, BERMULA RM122K

Honda Thailand telah melancarkan Civic generasi ke-11 ke pasaran negara itu. Hadir dengan rekaan luaran yang lebih selamat dan elegan, sedan itu ditawarkan dalam tiga varian iaitu EL, EL+ dan RS. 

Varian EL ditawarkan pada harga 964,900 baht (RM122,100), manakala varian EL+ berharga 1.009 juta baht (RM127,800). Harga RS jauh dilihat jauh lebih tinggi dengan 1.199 juta baht (RM151,800). 

Berbeza dengan generasi terdahulu, Honda tidak lagi menawarkan Civic dengan enjin NA 1.8 liter i-VTEC. Sebaliknya, ia hanya dikuasakan oleh enjin turbo bersesaran 1.5 liter. 

Enjin tersebut menerima talaan semula yang menawarkan kuasa 175hp dan tork 240Nm, naik 5hp dan 20Nm berbanding model lama.  Dipadankan dengan kotak gear CVT, penggunaan bahan api adalah sekitar 17.2 km bagi setiap liter petrol. 

Berbeza dengan model terdahulu, Civic baharu tampil lebih elegan tanpa rekaan yang terlalu sporty. Jika mahu kelihatan lebih garang, beli sahaja varian RS yang dilengkapi kemasan hitam pada spoiler belakang, peresp udara, perumah cermin sisi dan hendal pintu. 

Penampilan itu disempurnakan dengan rim bersaiz 17 inci lima jejari (RS) serta 16 inci bagi varian EL dan EL+. Pelanggan juga boleh memilih daripada enam warna iaitu perak, merah, biru, putih mutiara, kelabu metalik dan hitam. 

Varian asas menerima lampu utama jenis projektor halogen, di samping lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu belakang LED. Ciri lain  termasuklah sistem kunci pintar, butang Srat/Stop dan kunci walkaway. EL+ pula ditambah dengan tempat duduk dan stereng dibalut kulit, kerusi pemandu larasan elektrik dan cermin sisi boleh dilipay secara automatik. 

Sebagai varian tertinggi, RS dipasang dengan lampu utama LED, pengelap cermin automatik, upholsteri Ultrasuede pada tempat duduk, pedal aloi, mod pemanduan sport, pengecas tanpa wayar, kad kunci Honda Smart Key dan banyak lagi. 

Apa yang menarik, semua varian dilengkapi 6 beg udara, kawalan kestabilan, hill start Assist, ISOFIX dan sistem keselamatan Honda SENSING. Ia terdiri daripada brek kecemasan automatik (AEB), kawalan jelajah adaptif, bantuan pengekalan lorong, lampu tinggi automatik dan front departure alert. Varian RS ditambah dengan kamera LaneWatch.

Pelanggan di Thailand boleh mendapatkan aksesori Modulo yang ditawarkan dengan pakej asas aero. Pakej yang terdiri daripada splitter hadapan, skirting sisi dan peresap udara berwarna hitam itu ditawarkan pada harga 18,500 baht (RM2,300) sahaja. 

Tak cukup? Boleh beli kemasan gril krom, kemasan ekzos krom, rim aloi 17 inci, pemijak sisi dan banyak lagi dalam pakej Exclusive Sport. 

GALERI

Google ads
Back to top button