Artikel Pilihan

SEGALANYA TENTANG SISTEM MILD HYBRID 48 VOLT. KENAPA JADI PILIHAN?

Walaupun dunia automotif bergerak kearah teknologi kereta elektrik, tapi buat masa sekarang tak semua negara bersetuju melaksanakan kereta EV secara terburu-buru. Disebabkan teknologi EV ini masih baru, menggunakan teknologi baru dan logam yang mahal, maka harga EV sukar untuk dicapai oleh orang biasa.

Keadaan ini memberi ruang kepada pengeluar membangunkan sistem trenkuasa hibrid yang lebih ringkas, mudah dan murah dalam usaha mengurangkan pelepasan gas. Sistem ini dikenali sebagai sistem mild hibrid 48 Volt menjadi semakin popular bagi menjadikan trenkuasa enjin semakin cekap dan kurang melepaskan gas karbon dioksida

Sistem hibrid 48 volt ini boleh dikatakan paling ringkas dalam teknologi hibrid, dengan menggunakan motor elektrik yang dipanggil sebagai Integrated Starter Generator (ISG) khusus membantu enjin ketika pecutan deras diperlukan. Pada masa yang sama sistem ini juga direka untuk meminimakan penggunaan bahan api pada enjin sekaligus mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida.

Disebabkan menggunakan motor elektrik yang kecil, ia tidak mampu menggerakkan kereta dengan kuasa elektrik semata-mata. Sebaliknya bateri 48 Volt dan ISG akan membantu pecutan enjin ketika RPM rendah terutama ketika memulakan pecutan.

Sebagai contoh sistem mild hibrid yang dipasang pada Mercedes Benz C-Class dengan unit ISG dipasang antara unit transmisi dan enjin berupaya membekalkan sekitar 20 kuasa kuda tambahan pada enjin. Ketika membrek atau memandu tanpa kuasa enjin, lebihan kuasa akan digunakan untuk mengecas bateri sistem melalui unit ISG.

Untuk pemanduan dalam bandar yang melibatkan kesesakan, dengan trafik bergerak dan berhenti yang banyak sistem mild hibrid ini mampu menjimatkan penggunaan bahan api. ECU akan mengenalpasti kuasa enjin akan digunakan, memberi isyarat kepada ISG untuk membantu proses pecutan dan mengurangkan penggunaan bahan api, dan pelepasan gas karbon dioksida.

Disebabkan unit ISG ini menggunakan motor elektrik yang lebih besar daripada motor penghidup, maka proses Start/Stop akan berlaku dengan lebih lancar dengan gegaran yang minima. Malah proses menghidupkan semula enjin akan dibuat oleh bateri sistem hibrid, bukan bateri 12 volt konvensional

Malah kos pemasangan dan pembangunan sistem mil hibrid ini juga lebih rendah dan murah, membolehkan pengeluar menghasilkan kenderaan hibrid pada harga mampu milik berbanding dengan kereta hibrid yang lebih besar.

Saiz sistem yang kecil juga berupaya mengurangkan berat sistem dan seperti yang kita tahu sebelum ini sistem hibrid menjadi kurang praktikal untuk perjalanan jarak jauh di lebuh raya. Ini kerana lebuh raya tiada kesesakan jalan raya, sistem kurang dicas dan berat sistem menjadi beban kepada enjin

Audi, Ford, Mazda, Volvo dan Fiat adalah beberapa jenama terkemuka yang telah membangunkan sistem hibrid 48 volt sebagai salah satu usaha mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida pada alam sekitar. Mungkin pada masa akan datang kita akan lihat unit ISG yang lebih berkuasa digunakan bagi kegunaan kereta sport moden yang mesra alam.

Google ads
Back to top button