Buletin

NISSAN FAIRLADY Z CUSTOMIZED EDITION BAKAL DIKELUARKAN! IMBAS NOSTALGIA FAIRLADY Z432R

Terima kasih kepada Nissan kerana yakin untuk mengeluarkan Fairlady Z pada era kenderaan elektrifikasi. Fairlady Z juga istimewa kerana hadir tanpa teknologi yang terlalu canggih dan ditampilkan dengan gaya model terdahulu.

Lebih istimewa apabila Nissan memaklumkan Fairlady Z Customized Edition bakal dikeluarkan secara massa.

Apa yang istimewa tentang model itu? Pertama sekali, Nissan memperkenalkan Fairlady Z Customized Proto pada Tokyo Auto Salon (TAS) 2022.

NISSAN FAIRLADY Z CUSTOMIZED PROTO

Fairlady Z Customized Proto dibuat sebagai model prototaip kajian untuk para peminat Z.

Model itu kemudian menang kategori Grand Prix di dalam Tokyo International Custom Car Contest 2022 pada acara yang sama.

Satu yang istimewa apabila Nissan menggunakan tema ubah suai pada Fairlady Z Customized Proto bagi meraikan model legenda Fairlady Z432R dengan skala warna badan oren dan hitam pada tukup enjin, bumbung dan belakang kereta.

Lagi ciri istimewa ialah rim aluminium aloi, fender flare, tulisan putih NISSAN Z pada tayar, dua ekzos dan spoiler belakang besar.

Dari model prototaip tersebut, Nissan hasilkan Fairlady Z Customized Edition yang bakal dibawa ke TAS 2023 dan lebih manis apabila ianya versi pasaran massa.

Fairlady Z432R turut dibawa ke TAS 2023 dan model ini adalah versi homologasi Z432 bagi mematuhi peraturan perlumbaan di Jepun.

Seperti biasa, tidak banyak dikeluarkan dan mempunyai harga yang begitu tinggi.

Di dalam satu acara bidaan di Jepun pada 2021, sebuah unit Z432R berjaya dijual pada harga 88.55 juta yen! (RM2.984 juta nilai tukaran sekarang).

Berbanding model prototaip dan berdasarkan sekeping gambar, Fairlady Z Customized Edition hanya sedikit berbeza tanpa fender flare dan tulisan putih pada tayar.

Bampar depan dan skirt sisi nampak sama dan begitu juga dengan rim. Nissan juga belum mendedahkan spesifikasi terperinci.

Sebagai rujukan, Fairlady Z digerakkan enjin 3.0 liter V6 turbo berkembar (VR30DDTT) yang menghasilkan 400 kuasa kuda (hp) dan tork 475Nm.

Pembeli mempunyai dua pilihan transmisi iaitu manual enam kelajuan dan automatik sembilan kelajuan.

NISSAN FAIRLADY Z CUSTOMIZED PROTO

BACA: PADA 2000 NISSAN X-TRAIL T30 DIPERKENAL, SISTEM 4X4 TEKAN BUTANG!

BACA: PADA 1969 NISSAN SKYLINE 2000GT-R DIPERKENAL, 4 PINTU SEBELUM 2 PINTU

BACA: NISSAN X-TRAIL 2022 MASUK AUSTRALIA, ENJIN 2.5L, TANPA E-POWER, DARIPADA RM108K

Google ads
Back to top button