Artikel Pilihan

SEMPENA SAMBUTAN HARI POLIS KE 210, MARI KITA LIHAT KENDERAAN PILIHAN PDRM HARI INI

Polis Di Raja Malaysia ataupun PDRM merupakan benteng pertahanan negara terhadap ancaman penjenayah baik dari luar mahupun dari dalam negara sendiri. Setiap anggotanya diberikan latihan secukupnya dan peralatan dan persenjataan yang lengkap untuk tujuan tersebut.

Kini bersempena dengan Hari Polis yang baharu sahaja disambut baru-baru ini kami ingin berkongsi dengan anda maklumat mengenai kenderaan-kenderaan yang sedang digunapakai dan yang pernah digunakan oleh PDRM dalam menjaga keamanan negara.

BACA: FERRARI MILIK MAFIA JADI KERETA POLIS

BACA: DENDA TENUNG LAMPU OLEH POLIS CHINA

Keperluan mobiliti pasukan PDRM memang cukup tinggi dan memerlukan kenderaan-kenderaan yang khusus. Malah mereka juga biasanya dilengkapkan dengan kenderaan yang lengkap dengan segala keperluan tugasan seharian anggota polis. Antara aset kenderaan PDRM ialah kenderaan peronda yang juga dikenali sebagai MOBILE PATROL VEHICLE atau disebut MPV.

MITSUBISHI LANCER EVOLUTION X

Kereta paling ikonik dan paling membanggakan rakyat Malaysia. Ia mula digunakan sejak tahun 2008 sebagai unit MPV elit dan dikenali dengan nama Helang Lebuh Raya.

Evo X merupakan model terakhir siri Lancer Evolution dan digunakan untuk tugas-tugas khas seperti peronda lebuhraya dan mengiringi kepada orang kenamaan. Kemampuan Lancer Evolution tidak perlu dipertikaikan lagi dan ia memang sesuai untuk memintas dan mematahkan operasi jenayah yang semakin mencabar.

MITSUBISHI LANCER 2.0 GTS

Digunakan sejak tahun 2010 dan mempunyai tugas yang sama dengan Lancer Evolution X iaitu sebagai kenderaan MPV peronda lebuhraya dan mengiringi orang kenamaan. Walaupun tidak sehebat Mitsubishi Lancer Evolution X namun DNA Lancer yang ada padanya memastikan ia masih lagi berkuasa untuk tugasan rondaan dan pencegahan jenayah.

PROTON INSPIRA 2.0

Proton Inspira kini merupakan wajah baru kereta peronda PDRM dan menggantikan tempat Proton Waja yang digunakan sejak dari tahun 2000. Diasaskan daripada model Lancer ia kini memberikan wajah baharu kepada barisan kereta peronda PDRM di seluruh negara. Ia juga lebih moden dan dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan terkini.

PROTON PREVE

Proton Preve sebahagian besarnya digunakan untuk kegunaan pegawai penyiasat jenayah. Ia masih mempunyai logo PDRM tetapi bukannya sebuah kereta peronda.

MITSUBISHI PAJERO SPORT VGT 2.5

SUV keluaran Mitsubishi ini diserahkan kepada PDRM dalam tahun 2013 dan digunakan oleh ibu pejabat polis Bukit Aman selain digunakan untuk tugas-tugas pengiring.

NISSAN X-TRAIL

SUV saiz sederhana ini juga digunakan sebagai unit peronda untuk kegunaan di kawasan-kawasan luar bandar berdasarkan keperluan. Ada juga unit yang digunakan khas untuk kegunaan anggota trafik

NISSAN NAVARA

Pikap terbaharu Nissan ini juga digunakan untuk kegunaan di daerah-daerah pedalaman yang memerlukan kenderaan khusus untuk mukabumi yang mencabar. Ia juga menawarkan kemudahan membawa kargo untuk tugasan kerana mempunyai ruang kargo yang lebih besar.

MPV terdahulu

PDRM mempunyai sejarah kenderaan yang agak panjang dan mengkagumkan. Pelbagai model pernah dipilih sebagai kereta peronda dan antara yang bertuah dan cukup dikenali ialah: Volvo 740, Volvo 240, Volvo 340, Volvo 144, Volvo 850 T5, Alfa Romeo Giulia, Alfa Romeo Alfetta, Mitsubishi Galant, Daihatsu Charmant, Isuzu Trooper, Mitsubishi Pajero, Perodua Kembara, Proton Saga dan beberapa model lagi.

KENDERAAN KHAS/PENGIRING VIP

PROTON PREVE DAN PROTON WAJA

Versi tidak bertanda dan digunakan sebagai pengiring orang kenamaan.

PROTON PERDANA

Proton Perdana V6 dan juga Perdana generasi baharu juga digunakan untuk tugasan mengiring orang kenamaan.

VOLVO XC90

SUV premium Volvo ini merupakan kenderaan tidak bertanda yang digunakan oleh pasukan khas yang bertanggungjawab menjaga keselamatan orang kenamaan atau VIP.

HONDA CRV

SUV sederhana tidak bertanda juga digunakan sebagai kenderaan pengiring VIP.

TOYOTA HILUX 2.5

Kenderaan untuk kegunaan unit K-9 dan juga Forensik. Mula digunakan sejak dari tahun 2008 dan masih berkhidmat sehingga sekarang.

MOTOSIKAL POLIS

HONDA CBX 750P

Motosikal kegunaan peronda polis trafik untuk menguatkuasakan undang-undang lalu lintas. Masih lagi digunakan sehingga hari ini tetapi dalam proses untuk digantikan dengan model terbaharu yang lebih moden dan canggih.

HONDA VFR 800P

Pengganti kepada model CBX 750 dan digunakan secara meluas oleh pasukan trafik. Ia juga merupakan motosikal khusus untuk rondaan. Terdapat juga model berwarna hitam dengan dua tempat duduk untuk kegunaan Pasukan Gerak Khas (tanpa pelekat pemantul cahaya dan lampu mata arah).

HONDA ST1300 PAN EUROPEAN

Dua versi digunakan sama seperti VFR800. Model ini bukan hanya untuk tugasan trafik tetapi juga sebagai pengiring VIP dan orang kenamaan. Versi trafik berwarna putih manakala versi Pasukan Gerak Khas berwarna hitam dengan dua tempat duduk.

KAWASAKI NINJA 300

Baharu sahaja diperkenalkan beberapa tahun lepas. Ia untuk kegunaan unit baharu yang dinamakan Unit Rondaan Bermotosikal (URB). Ia memudahkan pasukan polis membuat rondaan cegah jenayah dan masuk ke kawasan yang lebih kecil untuk bergaul dengan masyarakat.

PENUTUP

Itulah antara aset kenderaan yang digunakan oleh PDRM dalam memastikan keselamatan warga negara ini. Untuk tujuan itu juga PDRM sentiasa memerlukan kenderaan yang setanding ataupun lebih berkuasa untuk memerangi penjenayah yang semakin berani menggugat ketenteraman awam. Bersama-samalah kita membantu pihak polis dalam membanteras kegiatan haram. Selamat Hari Polis ke 210!

SUMBER FOTO

POLICECARPHOTO, POLIS DIRAJA MALAYSIA

 

 

Tags
Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button