
SHADOW VEHICLE, LORI INI MENYIBUK ATAS LEBUH RAYA DEMI KESELAMATAN ANDA
Pernahkah anda terjumpa atau terserempak dengan lori 1 tan yang tiba-tiba berbaris di lebuh raya Projek Lebuh Raya Utara Selatan atau singkatannya PLUS. Apabila lori ini berbaris, mereka akan menggunakan semua lorong dan menutup serta menghalang pengguna lebuhraya lain melintasi mereka
Anda rasa marah? Ya penulis satu ketika dulu pun rasa bengang jugak, kita dah la lambat nak sampai ke destinasi. Tiba-tiba ada pula lori main-main main dengan menghalang laluan kita. Malah satu ketika dulu viral apabila pengguna lebuh raya marah dan cuba melanggar lori 1 tan ini
Untuk pengetahuan pembaca lori-lori ini tadi sebenarnya dikenali dengan nama Safety Vehicle atau Shadow Vehicle, diwarnakan dengan warna putih agar mudah kelihatan walaupun dari jauh. Tujuan utama kenderaan keselamatan ini beraksi ialah untuk menutup sementara lebuhraya atas tujuan keselamatan dan juga penyelenggaraan
Penutupan lebuhraya ini dibuat dengan tujuan untuk penyelenggaraan ataupun dalam kes-kes kecemasan dibuat bagi memudahkan pekerja penyelenggaraan membuang halangan yang ada di atas lebuhraya dimana jika dibiarkan bakal membawa mudarat kepada pengguna lebuhraya
Malah dalam keadaan kecemasan, Shadow Vehicle ini juga akan muncul bagi membantu petugas keselamatan berkerja dan menyelamatkan mangsa kemalangan. Jadi lebuhraya ini tadi akan ditutup seketika mengikut prosedur keselamatan yang ketat bagi menjamin keselamatan petugas dan juga pengguna lebuhraya
Terdapat 2 jenis penutupan lebuhraya yang akan dilaksanakan dan dibantu oleh Shadow Vehicle ini tadi. Antaranya ialah:
1. Penutupan dirancang – bagi menjalankan kerja penyelenggaraan lebuhraya dan tidak mengambil masa yang lama
2. Penutupan yang tidak dirancang – bagi membuang objek yang berbahaya di atas lebuhraya.
Bagi menutup lebuhraya ini, terdapat 5 zon keselamatan yang akan digunakan oleh pihak PLUS. Antara fungsi Zon ini ialah:
1. Zon Amaran Awal – pengguna lebuhraya akan diberitahu tentang penutupan jalan dan diminta memandu secara perlahan serta berhemah
2. Zon peralihan – kenderaan akan dialihkan dari jalan yang ditutup ke laluan alternatif
3. Zon penampan – melindungi pekerja di tapak kerja lebuhraya
4. Zon kerja – kerja menyelamat, kerja pembinaan dan pengalihan objek dilakukan
5. Zon penamat – pengguna lebuhraya kembali ke laluan asal
Shadow Vehicle ini mudah dikenali dengan pemasang pelekat pemantul cahaya di bahagian belakang, dipasang dengan lampu amaran serta lampu penunjuk arah berwarna jingga. Malah ia juga dipasang dengan papan tanda yang memberi amaran kepada pengguna lebuhraya


