SHERIFF FLORIDA TERIMA SEBUAH CORVETTE C7 – ‘DERMA’ HASIL RAMPASAN HARTA PENGEDAR DADAH
Sekarang di Malaysia kaki-kaki kereta tengah hangat dengan topik sebuah Nissan GT-R R32 yang disita pihak polis kerana menggunakan liveri yang sama dengan MPV milik PDRM. Tapi itu cerita kat sini. Nun jauh di AS sana pula, Sheriff Escambia County, Florida baharu sahaja menambah sebuah Corvette C7 Z06 ke dalam koleksi kereta peronda mereka.
Rampasan akibat perkara yang sama dengan kat Malaysia ke? Taklah, ia merupakan kereta milik seorang pengedar dadah yang ditelah dirampas oleh pihak polis sebelum diserahkan kepada pejabat sheriff tersebut. Best ooo. Dapat free je.
Corvette Z06 tersebut dengan enjin 6.2L V8 yang mampu menghasilkan 642bhp kuasa kini dilengkapi dengan liveri lengkap pejabat sheriff Escambia County. Ia juga dipasang dengan lampu amaran pada bahagian gril hadapan, cermin hadapan, ruang kemasukan dan keluaran udara sisi dan banyak lagilah. Jadi tak timbul alasan tak nampak lampu amaran polis kalau disuruh berhenti.
Tapi sayangnya kereta ini cuma akan digunakan untuk tujuan promosi khususnya dalam membina hubungan dalam komuniti dan bukannya untuk dilanyak dalam adegan kejar mengejar seperti dalam permainan Need For Speed Most Wanted. Jadi tak adalah Sarjan Cross kalau dah banyak sangat bintang kan?
Menariknya pejabat sheriff memaklumkan yang belanja untuk proses naik taraf Corvette ni bukannya menggunakan duit pembayar cukai tapi dibiayai oleh Escambia County Sheriff Foundation, sebuah organisasi tidak berasaskan keuntungan yang membantu memberi sokongan kepada anggota penjabat sheriff dan membuat promosi keselamatan umum kepada orang ramai. Okeylah, kira telus takdelah nak makan duit kopi ke apa.
Tapi ada juga kontroversi yang berlaku kerana Corvette ini dikatakan dirampas daripada individu yang baharu dikenakan pertuduhan dan belum didapati bersalah di mahkamah.
Apa pun difahamkan memang ada peruntukan undang-undang di sana menyatakan harta pesalah seumpama ini boleh dirampas oleh pihak berkuasa walaupun tertuduh belum dijatuhkan hukuman oleh mahkamah. Kalau tak takkanlah polis suka-suka nak rampas macam tu kan?