
SIASAT PROTON SAGA AEROBACK TERBABAS, POLIS JUMPA MAYAT WANITA REPUT
Polis menemukan satu mayat reput ketika menjalankan siasatan terhadap kemalangan kereta yang terbabas berhampiran persimpangan lampu isyarat Pekan Tambun, Ipoh Perak pagi kelmarin.
Mayat dipercayai perempuan yang sudah reput sejak beberapa hari itu, ditemui hanya kira-kira 3 meter dari kereta Proton Saga Aeroback yang terbabas ke dalam longkang berdekatan.
Difahamkan sebelum penemuan mayat, pada kira-kira jam 5 pagi sebuah kereta yang dipandu oleh seorang anggota tentera dari arah Hulu Kinta terbabas ke dalam longkang berkenaan.
Anggota tentera berkenaan dikatakan cuba mengelak suatu kelibat yang melintas di hadapan keretanya sebelum terbabas ke dalam longkang di sebelah kiri jalan. Bagaimanapun, dalam kejadian itu anggota tentera itu hanya cedera ringan.
Anggota polis trafik yang kemudiannya datang ke lokasi kira-kira 5.30 pagi untuk menjalankan siasatan sebelum turut menemui mayat reput di sekitar kawasan kemalangan.

Ketika menjalankan siasatan berkenaan, anggota polis dikatakan terhidu bau busuk sebelum menemukan mayat reput berhampiran kenderaan yang terbabas. Maklumat penemuan itu dilaporkan kepada Balai Polis Tambun berhampiran dan mayat kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk proses bedah siasat.
Difahamkan, proses bedah siasat akan dijalankan pada sebelah petang bagi mengenal pasti identiti mayat dan punca kematian.
Tinjauan wartawan di lokasi mendapati siasatan dijalankan oleh pihak polis dan forensik PDRM di lokasi kejadian dan mayat reput sudah dibawa keluar daripada lokasi. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan ketika dihubungi mengesahkan kejadian. – Berita Harian
- BACA: TIDAK CUKUP TEMPAT, MAYAT MANGSA COVID-19 DI NEW YORK DISIMPAN DALAM TRAK SEJUK BEKU
- BACA: CEBISAN MAYAT LEKAT PADA RODA PESAWAT C-17 TENTERA UDARA AS
- BACA: MAYAT MANGSA KEMALANGAN TERPELANTING ATAS BUMBUNG PROTON PERDANA
- BACA: MAYAT LELAKI DILAPORKAN HILANG 10 BULAN LALU DITEMUI DI DALAM NISSAN GRAND LIVINA



