Buletin

SINGAPORE MOTORSHOW 2019: MITSUBISHI ECLIPSE CROSS – SUV DENGAN REKA BENTUK RADIKAL

Pengunjung Singapore Motorshow 2019 yang sedang berlangsung sekarang boleh meihat secara dekat model SUV terkini daripada Mitsubishi Eclipse Cross.

Lebih menarik lagi, Mitsubishi Singapore memperkenalkan edisi khas SUV Outlander dan Eclipse Cross – The Dark Knights.

Seperti namanya, kedua-dua model Special Black Edition ini didatangkan dengan elemen hitam pada hampir semua bahagian kenderaan termasuklah gril hadapan, rel bumbung, cermin sisi, dan rim aloi bersaiz 18 inci.

Saya pada awalnya menyangka SUV itu dicat hitam. Tetapi selepas melihat dengan lebih teliti, seluruh panel badan sebenarnya telah dibalut dengan wrap berwarna gelap untuk membuatkan Eclipse Cross semakin sporty.

Biarpun begitu, sebuah lagi Eclipse Cross yang berwarna merah terang  lebih menarik perhatian saya.

Sistem hiburan Eclipse Cross didatangkan dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto. Jadi pengguna boleh menghubungkan sistem multimedia bersaiz 7 inci dengan telefon pintar masing-masing.

Eclipse Cross dijana oleh enjin 1.5 liter turbo MIVEC dengan kuasa maksimum 163PS dan tork 250 Nm yang boleh dicapai pada putaran enjin 1,800 – 4,500 rpm.

Kuasa tersebut disalurkan kepada sistem pacuan dua roda menerusi transmisi CVT dengan lapan kelajuan Sports.

Tidak berkompromi dengan aspek keselamatan, Eclipse hadir dengan ciri terkini seperti Sistem Mitigasi Pelanggaran Hadapan, Lampu Suluhan Tinggi Automatik, dan Bantuan Mula Mendaki.

Selain warna hitam dan merah, Eclipse Cross turut didatangkan dalam beberapa warna lain seperti baharu tembaga, hitam, perak, perak metalik, putih, dan kelabu metalik.

Kalau dilihat kepada reka bentuk dan ciri yang ditawarkan, memang patut kalau Mitsubishi Motors Malaysia membawa masuk model ini untuk pasaran tempatan.

Google ads
Back to top button