Buletin

SISI BURUK DISEBALIK KEMEGAHAN THE ICON OF THE SEAS

The Icon Of The Seas, kapal mewah berkapasiti 7,600 tetamu dan 2,350 kru, dijadualkan memulakan pelayarannya pada 27 Januari ini di sekitar pulau Carribean sehingga April.

Kapal terbaharu syarikat Royal Caribbean itu bakal memecahkan rekod dunia kerana turut menempatkan taman tema air untuk digunakan oleh pengunjung kapal terbabit.

Kapal serba mewah yang dikatakan lima kali ganda lebih besar berbanding Titanic turut mempunyai lebih 40 bar dan restoran di atas kapal.

Untuk rekod, kapal mewah bernilai AS$2 bilion (RM9.4 bilion) itu mendapat permintaan tinggi dari para pelancong, di mana laporan mendedahkan tiket telah habis dijual pada Oktober 2022.

Persatuan Antarabangsa Cruise Lines meramalkan bahawa jumlah penumpang dijangka mencecah 36 juta pada 2024, iaitu meningkat sekitar dua puluh peratus berbanding rekod pra-pandemik.

Disebalik kemegahan kapal berkenaan, terdapat kebimbangan mengenai pelepasan karbon dan Climate Trace mengatakan pelepasan adalah enam peratus lebih tinggi berbanding sebelum 2020.

Walaupun banyak syarikat kapal pesiar telah komited secara terbuka kepada neutraliti karbon menjelang 2050, nampaknya tidak banyak usaha untuk mencapai matlamat tersebut.

Meskipun The Icon Of The Seas dikuasakan oleh gas asli cecair (LNG) dan teknologi sel bahan api, tetapi siasatan 2023 menyimpulkan bahawa kapal yang beralih kepada LNG adalah menjejaskan iklim.

Menurut Agensi Perlindungan Alam Sekitar, purata kapal persiaran mengeluarkan lebih banyak karbon setiap hari berbanding 1 juta kereta.

Tambahnya lagi, walaupun kapal persiaran hanya membentuk satu peratus daripada bot besar di dunia, tetapi ia akan mempercepatkan kadar pencairan glasier.

Google ads
Back to top button