Buletin

TOYOTA ECO YOUTH 2023/2024 LABUH TIRAI, SMK SERI AMPANG BAWA PULANG HADIAH RM30K

Program Toyota Eco Youth (TEY) 2023/2024 baru-baru ini telah melabuhkan tirai, di mana acara tahunan anjuran UMW Toyota Motor (UMWT) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) ini mempamerkan impak besar pendidikan mengenai alam sekitar ke atas generasi muda.

TEY memperkasakan pelajar sekolah menengah untuk terlibat secara aktif dalam isu-isu alam sekitar menerusi inisiatif-inisiatif berinovasi.

Tahun ini, 15 sekolah di seluruh negara, yang diwakili oleh 60 pelajar dan 15 guru penasihat, telah mempamerkan projek masing-masing bagi menangani masalah alam sekitar tertentu dalam komuniti mereka.

Sejak ia ditubuhkan pada tahun 2001, TEY berjaya melibatkan 506 sekolah dan memberi manfaat kepada 2,690 pelajar di seluruh negara, meninggalkan impak besar dalam pendidikan alam sekitar.

Presiden UMWT, Datuk Ravindran K berkata, UMWT mempunyai matlamat yang selari dengan komitmen global Toyota ke arah menyumbang kepada usaha mewujudkan alam sekitar yang lebih baik untuk generasi akan datang.

“TEY mempunyai objektif, misi, dan visi yang mencerminkan komitmen kami dalam usaha mendidik generasi muda menerusi kaedah berinovasi seperti Metodologi Penyelesaian Masalah 8 Langkah Toyota,” katanya.

Beliau turut menekankan mengenai komitmen UMW Toyota dalam mewujudkan alam sekitar yang lebih baik menerusi slogan syarikat, ‘Move Your World’ dan usaha mencapai sifar pelepasan karbon menjelang 2050.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Ampang, Kedah dinobatkan sebagai juara untuk edisi TEY 2023/2024 kali ini dengan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM30,000.

Sementara itu, naib juara pula disandang oleh SMK St Teresa Kuching, Sarawak dan tempat ketiga dimenangi SMK Raja Puan Muda Tengku Fauziah, Perlis.

Naib juara serta tempat ketiga masing-masing membawa pulang wang tunai RM20,000 dan RM10,000.

Bagi kategori Pembentangan Terbaik, ia dimenangi oleh SMK St John, Sabah manakala Pameran Terbaik dimenangi SMK Seri Pekan, Pahang dan kategori Penglibatan Komuniti Terbaik dirangkul SMK St Teresa Kuching, Sarawak di mana-mana masing membawa pulang kemenangan RM5,000.

Guru Penasihat Terbaik dimenangi Nur Asmaa’ Abdul Hashim dari SMK Seri Ampang, Kedah dengan menerima baucer bernilai RM2,000.

Google ads
Back to top button