
JUALAN KERETA DI INDONESIA STATIK, CUKAI TERLALU TINGGI
Penjualan kereta di Indonesia dilaporkan statik atau terbantut dalam sepuluh tahun kebelakangan ini iaitu sejuta unit setahun.
Meskipun banyak kenderaan baharu diperkenalkan namun ia masih belum mampu mencapai tahap jualan yang memuaskan.
Sekurang-kurangnya sepuluh jenama baharu dijual di sana seperti Wuling, Hyundai, DFSK, Morris Garage (GM), Great Wall Motors dan terbaharu BYD.

Timbalan Presiden Pengarah PT Toyota Motor Manufacturing Indonesia (TMMIN) Bob Azam berkata, antara punca keadaan ini berlaku kerana terdapat cukai yang tinggi sehingga tidak semua rakyat mampu mendapatkan kereta.
Menurutnya, jika ingin meningkatkan pasaran automotif, kerajaan boleh mengambil Thailand sebagai contoh.
“Di Thailand, cukai adalah lebih mudah dan lebih kecil tetapi di Indonesia, ia sangat berbeza,” kata Bob.
Bob memberi contoh, apabila diskaun PPnBM dilaksanakan semasa pandemik 2019, jualan kereta serta-merta melonjak.
“Bagaimanapun, diskaun cukai kereta di Indonesia tidak popular dari segi politik kerana ia dilihat memberi subsidi kepada golongan kaya,” jelasnya.
Langkah lain ialah memberikan insentif kepada pengeluar supaya mereka boleh terus membangun dan memperkenalkan teknologi terkini ke pasaran.
Sehingga kini, menurut Bob, insentif hanya diberikan kepada pengguna melalui beberapa instrumen fiskal tetapi tiada insentif langsung kepada pengeluar atau pengilang.
Berdasarkan data Gabungan Industri Automotif Indonesia (Gaikindo), jumlah jualan kereta di negara itu sepanjang Januari-Disember 2023 mencecah 1,005,802 unit, turun 4 peratus berbanding tahun sebelumnya.








