TOYOTA NO.2 JENAMA KERETA PENUMPANG TERLARIS DI EROPAH PADA 2023, YARIS CROSS PALING LAKU
Pada masa pengeluar lain menumpukan pada kenderaan elektrik bateri (BEV), Toyota mengambil strategi berbilang laluan (multi-path strategy) dalam membangun dan menawarkan kenderaan elektrifikasi.
Maknanya, Toyota tidak menumpukan pada BEV sahaja tetapi pelbagai rangkaian kuasa elektrik termasuk sel bahan api hidrogen (FCEV).
Pengeluar lain mempunyai BEV tetapi Toyota lebih daripada itu dengan menawarkan kenderaan hibrid, hibrid plug-in, elektrik dan FCEV.
Mengambil langkah berbeza, bagaimana kedudukan Toyota di lubuk pasaran kenderaan elektrifikasi seperti Eropah?
Toyota Motor Eropah (TME) baru sahaja mengumumkan angka jualan 2023 yang menyaksikan 1,173,419 unit kenderaan Toyota dan Lexus terjual.
Angka itu meningkat sembilan peratus berbanding 2022 dan menguasai 6.7 peratus pasaran.
Sepanjang 2023, jualan kenderaan elektrifikasi meningkat 14 peratus dan menguasai 70 peratus jualan keseluruhan.
Jualan Lexus melonjak 46 peratus dan menjadikannya sebagai salah satu jenama premium paling pantas berkembang di Eropah.
Prestasi Toyota meletakkannya pada kedudukan kedua jenama kereta penumpang terlaris di benua itu.
Toyota
Jualan kereta penumpang dan kenderaan perdagangan meningkat tujuh peratus kepada 1,099,782 unit.
Kelompok terlaris terdiri daripada siri Yaris, siri Corolla, C-HR, Aygo X dan RAV4 dengan penguasaan 76 peratus daripada jualan keseluruhan.
Jualan model elektrifikasi mencecah 755,005 unit atau peningkatan sebelas peratus berbanding 2022.
Jualan bZ4X yang merupakan kenderaan utiliti sukan (SUV) BEV pertama Toyota yang dibina menggunakan pelantar khusus eTNGA berjumlah 19,606 unit.
Toyota Professional mencipta rekod jualan baharu dengan jumlah 140,062 unit atau peningkatan 18 peratus.
Lexus
Jualan Lexus melonjak 46 peratus kepada 73,637 unit kenderaan pada 2023.
Jualan model elektrifikasi begitu besar dengan menguasai 87 peratus daripada prestasi keseluruhan atau hampir 100 peratus di Eropah Barat.
Prestasi terpilih TME pada 2023:
- Jualan keseluruhan: 1,173,419 unit (+9%)
- Jualan model elektrifikasi: 819,444 unit (+14%)
Toyota
- Jualan keseluruhan: 1,099,782 unit (+7%)
- Model terlaris: Yaris Cross (195,569), siri Corolla (181,094), Yaris (166,925), C-HR (117,552); Aygo X (90,582), RAV4 (87,582)
- Jualan model elektrifikasi: 755,005 (+11%)
- Model GR: GR86 (4,041), GR Yaris (2,454), GR Supra (939)
Lexus
- Jualan keseluruhan: 73,637 unit (+46%)
- Model terlaris: NX (25,709), UX (18,747), RX (15,529)
- Jualan model elektrifikasi: 64,439 unit (+58%)
Untuk 2024, prestasi Toyota dan Lexus dijangka terus mengukuh berdasarkan penyerahan, permintaan dan pelancaran model baharu seperti CH-R, Lexus LM dan LBX.