Artikel Pilihan

SISTEM HIBRID RINGKAS MHEV AUDI, SEBENARNYA AGAK KOMPLEKS

Awal minggu lepas penulis berpeluang untuk memandu uji Audi Q5, iaitu sebuah SUV bersaiz sederhana yang diasaskan dengan menggunakan platform MLB Evo. Sewaktu memandu Audi Q5, penulis hanya menyangka ia hanyalah sebuah SUV dengan menggunakan enjin petrol sahaja.

Semakan penulis mendapati Audi Q5 dipadankan dengan enjin 4 silinder 2000cc Turbo Fuel Stratified Injection dengan turbo bagi menjana sehingga 247 kuasa kuda dan 370Nm tork seawal 1600 RPM. Untuk pemanduan jarak jauh di atas lebuh raya dengan halaju malar 110-120km/jam, penulis berjaya mendapatkan bacaan purata sekitar 13.8km per liter petrol

Ia sebenarnya satu angka yang menakjubkan memandangkan Audi Q5 adalah sebuah SUV yang besar dengan berat mencecah sehingga 1760kg. Audi pula menyatakan yang Audi Q5 hanya mampu menawarkan bacaan maksimum sehingga 12km per liter petrol sahaja.

Apatah lagi Audi Q5 ini beroperasi dengan sistem AWD sepanjang masa. Pada mulanya penulis menyangkakan yang penjimatan bahan api ini disumbangkan oleh sistem Start/Stop yang dipasangkan pada sistem kereta. Ketika berhenti seketika di dalam kesesakan jalan raya, enjin akan dimatikan seketika dan dihidupkan semula sebaik sahaja trafik mulai bergerak.

Tapi apabila penulis memandu untuk jarak jauh bagi kali ke 2, penulis perasan yang enjin Audi Q5 ini akan mati secara automatik pada halaju tinggi sewaktu kita melepaskan pedal minyak seketika. Mungkin dalam 5-10 saat sebelum enjin akan dihidupkan semula, itupun jika kita memerhatikan meter RPM dengan teliti.

Ketika ini barulah penulis sedar yang sistem yang ada pada Audi Q5 bukan sekadar sistem Start/Stop yang biasa. Sebaik sahaja ruang enjin dibuka, anda akan perhatikan yang bateri 12 Volt tidak diletakkan di situ sebaliknya disimpan dalam ruang kargo di belakang.

Namun apa yang menarik ialah Audi Q5 sebaliknya menggunakan alternator yang agak besar dan disambungkan terus pada enjin. Semakan atas talian mendapati Audi Q5 sebenarnya dipasang dengan satu sistem hibrid ringkas yang dinamakan sebagai Mild Hybrid atau MHEV. Tapi cara ia beroperasi tidak sama dengan Nissan Serena yang juga dipadankan dengan teknologi sama

Mild Hybrid merupakan sistem bantuan kuasa elektrik kepada kereta dengan enjin pembakaran dalam yang membenarkan kereta mematikan enjin ketika ia dipandu dengan halaju malar, membrek atau berhenti sepenuhnya. Dengan bantuan motor elektrik yang besar, enjin boleh dihidupkan dengan cepat dan mudah

Bagi sistem mild hybrid yang digunakan oleh Audi, ia menggunakan motor generator yang dipacu oleh tali sawat bagi menjana kuasa elektrik kepada bateri lithium ion 12 volt yang berada di dalam ruang kargo. Kuasa ini dihasilkan melalui brek regenratif sewaktu Audi Q5 membrek, menjana kuasa yang cukup sehingga 5kW

Bagi sistem MHEV yang dibangun oleh Audi, ia terdiri daripada beberapa komponen seperti:

1. Belt Alternator Stator – mengecaj bateri sistem lithium ion sebesar 12 Volt yang disimpan dalam ruang kargo belakang termasuklah bateri 12 Volt konvensional

2. Bateri 12 Volt – terdiri daripada bateri biasa untuk kegunaan sistem elektrikan kenderaan dan bateri lithium ion untuk kegunaan menghidupkan enjin sewaktu proses Start/Stop. Bateri lithium ion ini boleh menyimpan sehingga 5kW tenaga sewaktu penuh

3. Radar & kamera- mengesan kereta di depan dalam kesesakan jalan raya, jika kereta di depan telah bergerak menjauhi Audi Q5, enjin akan dihidupkan semula

Jika bateri lithium ion 12 Volt ini telah penuh, sistem akan menutup enjin TFSI seketika antara kelajuan 55-160km/jam bagi mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida sehingga 10 saat. Sistem mild hybrid akan memilih bila untuk mematikan enjin, menghidupkan enjin dan mengecaj bateri berdasarkan keadaan pemanduan

Sewaktu enjin dimatikan, bateri 12 volt lithium ion ini juga akan bertindak membekalkan tenaga elektrik pada semua komponen elektrik agar berfungsi seperti biasa seperti enjin dihidupkan. Audi mengatakan sistem ini berupaya mengurangkan penggunaan bahan api sehingga 0.3 liter bagi setiap 100km. Tapi dalam kes penulis, penjimatan yang berjaya dicapai adalah sehingga 0.75 liter. Boleh tahan juga.

Google ads
Back to top button