
SKODA AFRIQ CONCEPT – DARI SUV KE JELMAAN KERETA RALI
Sekumpulan tenaga pelajar dari Skoda telah berpeluang untuk bereksperimen bagi menghasilkan sebuah model konsep mengikut idaman hati, Skoda Afriq. Barangkali ada yang menyangka ianya adalah jelmaan daripada model Skoda Fabia agaknya. Tapi silap. Skoda Afriq ini dihasilkan berdasarkan daripada SUV Skoda Kamiq.
Sekali imbas memang kita akan menyangka ianya adalah model daripada Rally2 evo milik Skoda. Cumanya saiznya yang lebih besar mungkin boleh menyangkal dakwaan tersebut. Sudah tentu saiz sedikit besar yang dimiliki oleh SUV Kamiq itu tidak berupaya menyembunyikan identiti sebenar model ini.

Memang nampak garang habis apabila Skoda Afriq ini dipakaikan dengan kit badan yang melebar serta penggunaan tayar tebal yang sangat sesuai untuk berlumba di Rali Dakar. Apatah lagi Skoda Afriq ini turut dilayangkan dengan livery putih hijau yang cukup sinonim dengan model rali milik Skoda.
Dan tahukah bahawa beberapa perkakasan milik Skoda Fabia Rally2 evo turut dipasang di Skoda Afriq ini seperti skup udara di bahagian bumbung, spoiler belakang dan juga lampu utama tambahan di bahagian hud hadapan. Kalau perasan juga, Skoda Afriq ini juga cuma menggunakan dua pintu sahaja berbanding model asal. Pintu belakang telah dipateri kemas bagi memastikan model sport seperti ini hanya menggunakan dua pintu sahaja.

Bahagian kabin Skoda Afriq ini turut dijelmakan sebagai kereta rali apabila turut memasang sangkar keselamatan lengkap dengan tempat duduk bucket. Jelas kelihatan juga papan pemuka yang diambil terus daripada model Skoda Fabia Rally2 evo. Bijak betul budak – budak ini buat kerja.
Menggerakkan Skoda Afriq ini telah diserahkan kepada trenkuasa milik Octavia RS, enjin 2.0 liter dengan pendesak turbo dan turut dilengkapi dengan sistem pacuan empat roda. Enjin ini berupaya menghasilkan kuasa 190 HP serta 320Nm yang disalurkan melalui kotak gear tujuh kelajuan DSG.

Akan tetapi dengan pengubahsuaian secara ekstensif sebegini, apatah lagi dengan pengurangan berat yang berjaya dicapai sehingga 100 kilogram berbanding model standard Skoda Kamiq, sudah pasti kereta rali ini mampu memecut dengan lebih laju.
Sebenarnya model ini merupakan model yang kelapan yang telah dibina oleh para perantis semenjak ianya mula dibina semenjak tahun 2013/14 lagi. Rasanya yang model konsep ini nampak lebih menarik daripada model konsep sebelumnya.
BACA : SKODA KODIAQ RS. ORAIT KE TAK SUV JENAMA REPUBLIK CZECH NI SEBENARNYA?