Buletin

SUBARU BAKAL PERKENALKAN SEMULA WRX STI TYPE RA 

Minggu lalu, Subaru mendedahkan sekeping gambar model baharu yang bakal diperkenalkan pada 8 Jun depan, WRX STI Type RA. 

Pengeluar kenderaan itu menyifatkan Type RA sebagai ‘cara lebih baik untuk mendapatkan dos gentian harian anda’. Maka tidak hairanlah jika model berprestasi tinggi itu dijangka menerima bumbung gentian karbon, wing belakang, peredam Bilstein dan tempat duduk Recaro yang telah dinaik taraf. Tidak ketinggalan peresap udara aerodinamik pada bahagian belakangnya.

Subaru turut menjanjikan penambahbaikan dari segi enjin dan kotak gear. Sebagai tradisi WRX STI, jentera tersebut akan dipasang dengan rim BBS berwarna emas bersaiz 19 inci.

Subaru memperkenalkan Type RA menerusi model WRX yang khas untuk pasaran Jepun pada tahun 1993. Sama seperti jentera STI pada hari ini, versi Type RA adalah lebih ringan dan hardcore berbanding WRX standard.

Kali terakhir Subaru menggunakan nama Type RA adalah pada tahun 2013 dengan hanya 300 unit dihasilkan untuk pasaran Jepun. Bagaimanapun, peminat Subaru dikatakan lebih menyukai model asal Type RA yang dibina di atas chasis GC8A.

Sebagai persediaan, Subaru dilihat sudah mula mengadakan sesi ujian ke atas Type RA. Buktinya, satu klip video telah dikongsi di laman YouTube yang menunjukkan sebuah Type RA NBR (untuk Nürburgring) jelas menunjukkan hala tuju versi produksinya nanti.

Untuk makluman, Subaru kini sedang dalam usaha untuk mencatat rekod baru bagi jentera empat pintu pada musim panas tahun ini.

BACA: GARANG SUBARU IMPREZA WRX STI VERSION 2

Tags
Google ads
Back to top button