SUBARU HENTI OPERASI CKD DI MALAYSIA, THAILAND – SEMUA KENDERAAN SUBARU BAKAL DIIMPORT SEPENUHNYA DARI JEPUN
Tan Chong International Limited (TCIL) dan Subaru Corporation baru-baru ini telah mengumumkan rancangan untuk menghentikan operasi pemasangan tempatan (CKD) untuk kenderaan Subaru di Asia Tenggara secara berperingkat.
Mulai 2025, semua kenderaan Subaru di Malaysia, Thailand, Vietnam dan Kemboja akan diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun.
Pemberhentian operasi CKD di ASEAN digambarkan sebagai “pendekatan untuk menyesuaikan diri dengan dinamik pasaran baru muncul”.
Menurut laporan, syarikat percaya bahawa model perniagaan CKD sedia ada tidak lagi mampan bagi jangka panjang.
TCIL ialah syarikat induk kepada Motor Image Group, pengedar serantau eksklusif untuk kenderaan Subaru di kebanyakan pasaran Asia.
Pada 2017, syarikat itu membentuk syarikat usaha sama Tan Chong Subaru Automotive Thailand (TCSAT) dengan Subaru Corporation, untuk pemasangan tempatan kenderaan Subaru di Thailand.
Kilang itu adalah kilang pembuatan Subaru pertama di luar Jepun di Asia dan kilang ketiga untuk mengeluarkan sepenuhnya kenderaan Subaru di seluruh dunia.
Operasi bermula secara rasmi pada 2018, dan pada masa ini ia mengeluarkan Subaru Forester generasi kelima untuk pasaran Thailand, Malaysia, Vietnam serta Kemboja.
Di Malaysia, Subaru memulakan operasi CKD kenderaannya di kilang Tan Chong Motor Assemblies pada 2012.
Pada masa ini, hanya Subaru XV dipasang secara tempatan di kilang di Segambut, dengan model itu turut dieksport ke pasaran lain di rantau ini.
Walaupun projek CKD dihentikan, syarikat terus menekankan komitmen mereka kepada pasaran Asia Tenggara.
“Usaha Bersama kekal kukuh, kerana TCIL dan Subaru Corporation terus kekal meneroka saluran perniagaan tambahan yang berdaya maju di Thailand, Vietnam, Malaysia dan Kemboja,” jelasnya dalam satu kenyataan. – Autobuzz
- BACA: GEELY ICON BUTTERFLY DILANCARKAN DI CHINA, TIGA VARIAN – 178HP, HARGA BERMULA RM62K
- BACA: PASARAN EV MAKIN SEJUK, FIAT MASUK GEAR UNDUR
- BACA: FORD RANGER STORMTRAK EDISI TERHAD MENDARAT DI MALAYSIA – HARGA BERMULA RM181K
- BACA: TIADA LAGI METER ANALOG PADA PORSCHE 911 BAHARU – KUNCI PUN DIGANTI DENGAN FUNGSI KEYLESS