Motosikal

LAWAN HONDA ADV 350, LIFAN LANCAR KPV 350 – 34HP, 35.5NM

Jenama Lifan mungkin agak asing bagi pasaran motosikal tempatan namun bagi yang tidak tahu, motosikal jenama dari China itu ada dipasarkan di Malaysia.

Untuk rekod, WMoto Xtreme 150i yang dipasarkan MForce BIke Holdings Sdn Bhd merupakan skuter ADV yang dijenamakan semula dari Lifan KPV 150. 

Terbaru, Lifan telah pun memperkenalkan model KPV yang lebih besar yang diberi nama KPV 350. Model ini dijangka akan menyaingi segmen skuter maxi 350cc antaranya Honda ADV 350. 

Atas kertas, Lifan KPV350 dipacu enjin satu silinder 4-stroke dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menjana 34hp pada 7,500rpm dan 35.5Nm pada 6,000rpm. Untuk perbandingan, Honda ADV 350 menawarkan 28.9hp dan 31.9Nm dengan tork puncak hadir lebih awal pada 5,250rpm. 

Menariknya, KPV350 ini ada berkongsi beberapa ciri sama dengan ADV 350 termasuk jarak kelegaan tanah dengan masing-masing menawarkan ukuran 145mm. Jarak antara tayar juga sama dengan 1520mm.

Bagaimanapun, ketinggian tempat duduk KPV350 lebih rendah dengan 780mm berbanding 795mm pada ADV350. Namun begitu, kedua-duanya berkongsi berat sama dengan 186kg. 

Lifan turut mendakwa KPV350 ini mampu mencapai kelajuan (selamat) sekitar 135km/j. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk:

  • rim 15-inci depan, 14-inci belakang
  • cakera brek depan dan belakang
  • ABS dwi-saluran
  • lampu LED penuh dengan DRL (daytime running light)
  • penghadang angin boleh laras

Buat masa ini tiada berita mengenai kemasukan skuter maxi ini ke pasaran Malaysia namun memandangkan MForce mempunyai keupayaan untuk memasang pelbagai jenama dan model di Malaysia kami tidak terkejut jika KPV350 ini turut dijenamakan semula seperti KPV150. 

Google ads
Back to top button