Artikel Pilihan

TIADA LAGI METER ANALOG PADA PORSCHE 911 BAHARU – KUNCI PUN DIGANTI DENGAN FUNGSI KEYLESS

Dengan pelancaran model 992.2, Porsche telah menambah kelengkapan standard untuk kereta sport kebanggaan mereka ini. Lampu hadapan Matrix LED dan stereng roda-belakang kini turut dipasang pada model 911 paling asas. Seperti kami bagi tahu  sebelum ini, buat pertama kalinya juga Porsche telah mengaplikasikan sistem hibrid pada Carrera GTS.

Dalam semua penambahbaikan yang dilakukan rupanya ada juga elemen asal yang telah digugurkan dan digantikan dengan ciri baharu. Sejak dari awal diperkenalkan sehinggalah generasi terakhir sebelum model 2025, Porsche masih mengekalkan takometer analog. Kini tidak lagi. Tiada lagi takometer analog di bahagian tengah instrumentasi dan kini ia digantikan dengan paparan digital sepenuhnya bersaiz 12.6 inci.

Terdapat 7 pilihan paparan mengikut keperluan dan kehendak pemandu dan ia masih mengekalkan visual klasik cuma kali ini ia lebih canggih. Ia masih lagi macam paparan asal Porsche dengan bentangan lima meter dan takometer di bahagian tengah.

Satu lagi ciri klasik yang digantikan ialah kunci penghidup. Seperti model-model moden yang lain, kini ia digantikan dengan butang start/stop di bahagian kiri roda stereng. Kedudukan ini sebenarnya diinspirasikan dari pelumba Le Mans yang meletakkan tangan kiri mereka di suis penghidup dan tangan kanan pada pedal tukaran gear untuk pecutan pantas.

Satu lagi ciri lama yang diketepikan (untuk sementara saja) ialah kotak gear manual. Tapi jangan bimbang sebab ia masih akan ditawarkan pada model 992.2 walaupun mungkin bukan untuk model 2025.

Kali ini tiada tempat duduk belakang disediakan pada 911 terbaru tapi Porsche boleh menyediakannya untuk anda tanpa sebarang kos tambahan jika anda memerlukannya. Baik betul Porsche ni. Maklumlah harga kereta sports mereka bukannya murah. Macam mana ni? Kena tunggu gear manual keluar balik baru boleh beli kot?

Google ads
Back to top button