
SUBARU LANCAR CROSSTREK GENERASI BAHARU, TIADA LAGI NAMA XV
Crossover subkompak Subaru kini sudah pun memasuki generasi ketiga, di mana Subaru membuat keputusan untuk mengekalkan penggunaan nama Crosstrek untuk pasaran global, sekaligus menggugurkan nama XV yang digunakan di sesetengah pasaran.
Berdasarkan platform SGP (Subaru Global Platform), Crosstrek baharu ini membawakan ukuran sepanjang 4,480 mm, lebar 1,800 mm, tinggi 1,580 mm dengan jarak antara roda 2,670 mm.

Antara perubahan yang ketara diperlihatkan adalah seperti rekaan jeriji depan berbentuk heksagon yang lebih besar, unit lampu yang lebih tajam, cladding badan yang lebih bersegi, rekaan rim baharu bersaiz 17 atau 18 inci, serta unit lampu berbentuk C pada bahagian belakang.
Untuk ruang dalaman, susun atur papan pemuka telah direka semula dengan menempatkan skrin menegak bersaiz 11.6 inci.
Butang kawalan iklim fizikal telah ditiadakan, memandangkan segala fungsi tersebut telah dimasukkan sekali ke dalam skrin itu tadi.

Tidak seperti model zaman moden, Subaru masih setia mengekalkan meter analog pada Subaru Crosstrek ini.
Bergantung kepada varian, tempat duduk boleh dibaluti dengan upholsteri fabrik atau kulit, serta tidak ketinggalan ciri keselamatan termaju EyeSight yang menampilkan kamera monokular sudut lebar dan perisian yang dipertingkatkan.

Generasi baharu Subaru Crosstrek ini didatangkan dengan trenkuasa hibrid e-Boxer 2.0 liter yang dipadankan dengan transmisi Lineartronic CVT dan sistem pacuan semua roda symmetrical AWD.
Angka kuasa kuda dan prestasi tidak didedahkan, namun menurut Subaru trenkuasa itu telah disemak semula bagi mengurangkan kadar kebisingan dan gegaran.
Jualan Subaru Crosstrek 2023 ini akan berlangsung pada tahun depan, dimulakan oleh pasaran Jepun terlebih dahulu sebelum diperluaskan kepada pasaran lain.










