
SUDAH SAMPAI MASANYA ASEAN NCAP MENGUJI KEKUATAN BUMBUNG KENDERAAN.
Cuba anda lihat di sekeliling parkir kejiranan rumah anda, di sekeliling pejabat anda dan juga di sekitar parkir pusat membeli-belah. Anda akan perasan yang sudah banyak kenderaan bertukar daripada sedan, kereta kompak dan lain-lain kenderaan menjadi SUV.
Mengikut data jualan kenderaan pada tahun 2021, sebanyak 508,911 buah kenderaan terjual pada tahun lepas. Daripada jumlah ini, 136,497 unit kenderaan adalah dalam kategori SUV ataupun 4×4 atau 26.8% daripada jumlah kenderaan terjual. Ia peningkatan sebanyak 43% berbanding dengan jumlah jualan daripada tahun 2020 dalam kategori SUV atau 4×4
Ya anda boleh lihat Perodua ada 2 model SUV/crossover, Proton pun ada 2 model SUV dan lain-lain jenama turut meletakkan SUV dalam barisan jualan kenderaan mereka. SUV adalah kenderaan yang laris dan semakin diminati ramai, menyebabkan sedan segmen C menjadi kurang laris berbanding dahulu.
Tapi tak semua orang tahu yang SUV sebenarnya ada kelemahan tersendiri dari segi rekaan. Disebabkan keupyaannya meredah laluan sukar, platform SUV akan ditinggikan sehingga menyebabkan pusat graviti SUV menjadi tinggi. Ini menjadikan SUV mudah terbalik atau juga disebut sebagai roll-over.

Di Amerika sendiri, ribuan pengguna SUV mati dalam kejadian SUV terbalik setiap tahun. Salah satu langkah yang diambil oleh pihak berkuasa ialah dengan penggunaan sistem kestabilan elektronik atau ESC bagi mengurangkan risiko roll over.
Apabila SUV mula terbalik atau roll-over, beg udara sisi dan tali pinggang keledar akan melindungi penumpang. Tapi bagi memastikan keselamatan penumpang, kerangka kenderaan mestilah cukup kuat dan menyediakan ruang yang selamat ketika roll-over. Jadi kerangka bumbung kereta mestilah kuat dan tidak boleh remuk
Kerangka bumbung yang kuat juga akan menghalang mana-mana penumpang yang tidak menggunakan tali pinggang keledar daripada tercampak keluar melalui cermin depan, cermin sisi atau bukaan bumbung yang terkopak dan mengalami kecederaan yang lebih serius

Dalam protokol ujian IIHS, kekuatan bumbung diuji dengan menekan kerangka bumbung dengan sekeping keluli pada satu sudut, dengan halaju malar dan daya yang dikenakan akan diukur sehingga kerangka bumbung kereta remuk sebanyak 5 inci.
Kekuatan ini biasa diukur dalam nisbah berat kenderaan. Jika berat kenderaan ialah 1000kg, ia mesti berupaya menahan daya sehingga 4000kg ketika ujian barulah ia dikategorikan sebagai Good. Jika ia hanya mampu menahan sehingga 3250kg atau 3.25 daripada berat kenderaan, maka ia dikategorikan sebagai Acceptable
Paling kurang kekuatan kerangka bumbung mesti mencapai nisbah 2.5, kurang daripada ini IIHS akan meletakkan kategori kenderaan ini sebagai tidak selamat. Anda boleh menilai 2 kenderaan yang diuji dalam video di bawah, satu diletakkan dalam kategori Good dengan nisbah 4.9 dan satu lagi dengan kategori Poor dengan nisbah 2.31
Dalam video di atas anda akan melihat Buick LaCrosse dikenakan daya sehingga 19,671 pound atau 4.9 lagi berat berbanding dengan berat kenderaan serta menerima penarafan Good. Video di bawah pula membandingkan antara Volkswagen Tiguan dengan Kia Sportage 2008.
Dengan pertambahan bilangan SUV dan 4×4 yang dijual di Malaysia, kami merasakan sudah tiba masanya ASEAN NCAP menambah satu lagi protokol ujian bagi menguji kekuatan bumbung kenderaan bagi memastikan pemandu dan penumpang adalah selamat jika berlaku rollover.
Bagi pasaran Amerika, Honda Civic generasi terbaru telah diuji dengan ujian ini dan diberikan penarafan Good.


