GEELY MAHU TINGKATKAN JUALAN EV KEPADA 50%
Geely Automobile Holdings Ltd mensasarkan untuk meningkatkan jualan kenderaan elektrik (EV) kepada 50 peratus pada 2023. Ini bagi mempercepatkan peralihan kepada EV ketika permintaan terhadap kereta yang dipacu oleh enjin petrol agak perlahan.
Jualan kenderaan hibrid dan plug-in hibrid akan menyumbang lebih daripada 30 peratus daripada jualan bulanan Geely pada separuh kedua tahun ini, jelas Ketua Eksekutif Geely, Jerry Gan kepada media.
Satu daripada lima kenderaan yang dijual Geely pada separuh pertama adalah elektrik penuh atau hibrid, jualannya meningkat hampir empat kali ganda, sedangkan jualan kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman merosot sebanyak 20 peratus.
Pelaburan pembuat kereta berprofil tinggi China itu ke atas Volvo Cars dan Mercedes-Benz, menyebabkan ia mencatatkan kejatuhan 35 peratus dalam keuntungan bersih separuh pertama tahun ini.
Geely memberitahu jualan kenderaannya yang jatuh 9 peratus pada separuh pertama di China adalah di luar jangkaan, situasi itu disumbang oleh sekatan COVID-19 dan masalah kekurangan semikonduktor.
Cabaran juga datang dari persaingan yang semakin sengit, peningkatan kos bahan mentah dan bateri akan memberi tekanan kepada jualan sehingga akhir tahun 2022.
Sektor automotif China terjejas teruk berikutan polisi sifar COVID oleh kerajaan yang menyebabkan banyak kawasan termasuk hab komersial Shanghai berada di bawah sekatan yang berbeza-beza.
Kerajaan China dilihat cuba untuk memulihkan permintaan dan mengurangkan separuh cukai pembelian kepada 5 peratus untuk kereta berharga kurang daripada $45,000 (RM201,442) dengan enjin tidak lebih daripada 2.0 liter.
Geely mencatatkan kenaikan sebanyak 29 peratus dalam enam bulan iaitu 58.18 bilion yuan (RM38.3 bilion), hasil daripada penetapan harga produk dan portfolio produk lebih baik yang mengimbangi kemerosotan jualan.
Geely juga sedang berusaha untuk berkembang lebih jauh ke Asia Tenggara dan Eropah. Eksportnya meningkat 64 peratus pada separuh pertama dan menyumbang 18 peratus daripada jumlah jualan.
Geely berkata sebelum ini jumlah jualan kenderaan tahunannya termasuk jenama EV Zeekr dan Geometry akan mencecah 3.65 juta unit menjelang 2025.