
SUPERCAR HEBAT YANG GAGAL DI SHOWROOM
Kalau tengok di atas kertas, banyak sportscar dan supercar nampak macam calon yang sempurna untuk menjadi kereta lagenda. Ada enjin berkuasa, teknologi canggih, malah ada yang bunyinya boleh buat bulu roma anda naik tiba-tiba.
Tapi bila sampai ke pasaran, kereta-kereta ini gagal menarik pembeli. Kenapa jadi macam tu? Mari kita tengok lapan contoh supercar yang menarik tetapi gagal di showroom
1. Lexus LFA (2010–2012)
Ramai peminat kereta akan bersetuju bahawa Lexus LFA ialah salah satu mesin paling sedap bunyinya yang pernah wujud. Enjin V10 4.8 liter naturally aspirated, dengan redline melebihi 9,000 rpm, dan bunyi persis kereta Formula 1 memang mengasyikkan. Ia juga ringan dengan casis karbon yang sangat moden.
Masalahnya, dengan harga sekitar USD 375,000 meletakkan Lexus LFA bersaing terus dengan Ferrari 599 dan Lamborghini Aventador. Bagi pembeli supercar, status jenama lebih penting daripada prestasi tulen.
Lexus, walaupun terkenal dengan kualiti, tapi tiada aura “poster car”. Hasilnya, 500 unit yang dirancang mengambil masa bertahun nak habis. Malah unit terakhir didaftarkan pada tahun 2020 kerana undang undang US menetapkan masa 10 tahun pendaftaran sebelum dilupuskan
2. Honda/Acura NSX (Generasi Kedua, 2016–2022)
Honda NSX generasi pertama ialah supercar lagenda dengan kombinasi ringkas iaitu enjin V6, berat sederhana, dan pengendalian tajam hasil kritikan dari Ayrton Senna semasa pembangunan. Generasi kedua cuba membawa teknologi masa depan dengan enjin twin-turbo V6 dan tiga motor elektrik, sistem AWD pintar, dan sistem hibrid rumit.
Secara teknikal ia nampak memang hebat, tapi kereta ini jadi terlalu berat, terlalu kompleks, dan kurang “jiwa”. Lagi sekali masalah harga timbul dengan harga jualan sekitar USD 150,000 hingga 200,000, menjadikan pembeli lebih rela membeli Porsche 911 Turbo atau McLaren 570S. NSX moden gagal capai aura kereta asal.
3. BMW i8 (2014–2020)
BMW i8 seakan kereta masa depan yang keluar lebih awal. Reka bentuk macam kereta konsep, casis carbon tub, dan dipadankan dengan trenkuasa plug-in hybrid . Atas kertas, ia patut jadi ikon supercar generasi baru yang mesra alam dari BMW.
Tapi realitinya, enjin 1.5 liter 3 silinder turbo tak beri “wow factor” pada pembeli yang sanggup bayar lebih USD 140,000. Performance pula setara dengan Porsche 911 entry level. Akhirnya, i8 jadi lebih kepada kereta “environmental statement” daripada sebuah sportscar sejati.
4. Jaguar XJ220 (1992–1994)
Sewaktu diumum, XJ220 dijanjikan dengan enjin V12 dan sistem pacuan AWD cukup sempurna untuk supercar British sejati. Tapi ketika produksi, hanya ada enjin V6 turbo sahaja & sistem pacuan roda belakang RWD tanpa pilihan AWD. Ramai pembeli yang sudah meletak deposit rasa tertipu dan menarik diri.
Untuk supercar yang berkuasa dan pilihan RWD sahaja, ia bukan jentera yang mudah untuk pemandu amatur. Walaupun begitu XJ220 tetap laju, malah sempat memegang rekod kereta produksi terpantas dunia dengan halaju 341 km/j. Namun reputasi dah tercalar, dan hanya 271 unit dijual daripada target 350 unit.
5. Aston Martin Virage (2011–2012)
Virage direka untuk menjadi jambatan antara model DB9 dan DBS. Ia menawarkan enjin V12 6.0 liter dengan kuasa lebih 490 hp, rekaan dalaman yang mewah, dan pengendalian meyakinkan. Tapi masalahnya ialah konsep rekaan ini sendiri semasa dihasilkan.
Supercar ini terlalu mirip dengan DB9 dan DBS menyebabkan pembeli menjadi keliru. Kenapa perlu beli Virage kalau DB9 lebih murah atau DBS lebih eksklusif? Hasilnya, jualan supercar ini hanyalah sekitar 1,000 unit sahaja sebelum dihentikan sepenuhnya selepas 18 bulan dilancarkan.
6. Mercedes-Benz SLR McLaren (2003–2010) – Kereta ni lahir daripada kolaborasi dua nama besar dalam automotif iaitu Mercedes dan McLaren. Ia sepatutnya menjadi sebuah grand tourer (supercar mewah yang selesa untuk dipandu jauh) dengan enjin V8 yang dipasang dengan kompressor bagi menjana 617 hp, brek seramik, dan rekaan yang dramatik.
Tetapi beratnya hampir mencecah 1.8 tan, menjadikannya lebih kepada “GT mewah” daripada supercar lincah. Dengan harga sekitar USD 450,000, ia tak dapat menyaingi Ferrari Enzo atau Carrera GT dari segi pengalaman pemanduan. Mercedes meletakkan sasaran jualan sekitar 3,500 unit, tapi hanya sekitar 2,100 terjual.
7. Mazda RX-8 (2003–2012)
Bukan supercar, tapi sportscar unik dengan enjin rotari Renesis. Mazda RX8 boleh dikatakan ringan, seimbang, dan ada konfigurasi pintu belakang kecil yang praktikal dengan 4 tempat duduk. Harga pun berpatutan dalam kategori mampu milik.
Namun, masalah enjinrotary tak pernah selesai dengan isu kebolehpercayaan yang rendah, penggunaan bahan tinggi walaupun 13000cc sahaja, dan isu apex seal yang menakutkan pembeli biasa yang tidak biasa dengan enjin rotari. Walaupun pada awalnya diterima baik, lama-kelamaan reputasi jatuh dan jualan merosot sehingga dihentikan.
8. Alfa Romeo 4C (2013–2020)
Kalau tengok rekaan luar, 4C nampak macam Ferrari mini. Ia dihasilkan dengan cesi carbon monocoque, berat kurang 1 tan, dan pengendalian sangat yang“pure”. Di atas jalan berliku, kereta ni memang seronok untuk dinikmati
Tapi keputusan Alfa Romeo untuk tidak memasukkan sistem bantuan kuasa stering adalah punca kepada masalah. Untuk kegunaan harian, stering jadi terlalu berat dan menyusahkan. Rekaan dalaman pula terlalu asas, sementara harga USD 70k lebih membuatkan orang kaya fikir, “baik aku beli Porsche Cayman.” Akhirnya, 4C jadi niche car untuk hardcore fan sahaja.
Apa yang kita nampak dari lapan contoh supercar atau kereta sport ini ialah aspek teknologi canggih, rekabentuk hebat, atau prestasi di atas kertas tak semestinya jamin kejayaan. Faktor seperti jenama, status, praktikaliti, dan harga memainkan peranan lebih besar.
Lexus LFA dan NSX membuktikan teknologi tinggi tak cukup kalau jenama tidak ada aura. BMW i8 dan Alfa 4C pula tunjukkan design futuristik tidak berguna kalau enjin dan praktikaliti mengecewakan. Jaguar XJ220, Aston Virage, dan SLR McLaren pula jadi mangsa strategi salah dan pemasaran yang gagal. RX-8 pula jatuh kerana isu ketahanan enjin.
Akhirnya, kejayaan supercar bukan semata-mata soal kuasa kuda atau kelajuan. Ia bergantung pada emosi, imej, dan “cerita” yang dijual bersama kereta. Dan di situlah ramai kereta hebat ini gagal.


