NISSAN DEDAH ALMERA FACELIFT 2023 UNTUK PASARAN ASEAN – TAMPIL AGRESIF, HARGA BERMULA RM72K
Nissan baru-baru ini mendedahkan model Almera facelift 2023 bagi rantau ASEAN selepas berbuat demikian di pasaran Amerika Utara pada Oktober tahun lepas.
Nissan kali ini menampilkan beberapa perubahan di bahagian dalam serta luar, selain menambah pelbagai ciri pintar.
Dari bahagian depan, Nissan Almera facelift 2023 tampil dengan gril V-Motion yang dipadankan bersama kemasan hitam serta krom, sekali gus memberikan rupa lebih agresif.
Untuk rim, terdapat perbezaan bagi setiap pasaran. Misalnya di Thailand, ia diserlahkan melalui rim aloi 15-inci, sementara untuk pasaran Filipina sedan itu menggunakan rim bersaiz 16-inci.
Tetapi kedua-duanya masih kecil jika nak dibandingkan model Nissan Almera facelift 2023 di Amerika Utara yang hadir dengan rim aloi 17-inci.
Menjengah ke dalam kabin, Almera berspesifikasi Thailand menerima warna dalam baharu iaitu hitam dan biru.
Antara ciri tersedia termasuklah skrin sentuh berukuran 8-inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem pengecaman suara, pengecas tanpa wayar. Tidak ketinggalan, ia diperkenalkan dengan Nissan Connect Services, satu rangkaian teknologi dalam kenderaan yang menggabungkan ciri navigasi, keselamatan serta hiburan.
Dari aspek keselamatan, Almera facelift 2023 (bergantung pada varian) dilengkapi ciri-ciri seperti Tire Pressure Monitoring System (TPMS), High Beam Assist (HBA) dan Lane Departure Warning (LDW).
Manakala Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Intelligent Around View Monitoring (IAVM), Moving Object Detection (MOD), Intelligent Forward Collision Warning (IFCW), Blind Spot Warning (BSW) serta Hill Start Assist (HSA) hadir sebagai ciri standard.
Beralih kepada kuasa, jentera itu masih manggunakan khidmat enjin 1.0-liter turbo tiga silinder yang berupaya menghasilkan 99hp, tork 152Nm dan dipadankan bersama transmisi Xtronic CVT.
Di Thailand, Nissan Almera facelift 2023 boleh dimiliki pada harga bermula 549,000 baht – 69,000 baht (RM72,568 – RM92,418).