Buletin

KIA K4 2025 DIPERKENAL, REKA BENTUK BERBEZA!

Forte di antara model terawal yang membuka mata ramai terhadap jenama Kia. Forte tampil segak dan identiti hidung harimau dibawa sehingga kini.

Bermula dari 2008 merentasi tiga generasi dan nampaknya Kia beralih angin dengan menggunakan nama baharu iaitu K4 sebagai pengganti.

Nama K3 yang digunakan pada Forte atau Cerato diambil sedan aras mula yang diperkenal di Mexico pada Ogos 2023. 

Dari segi susunan, Kia sebelum ini mempunyai sedan seperti Rio, K3 (Forte/Cerato), K5 (Optima), K7 (Cadenza)/K8 dan K900.

Boleh disimpulkan Kia menyusun semula K3 bagi menggantikan Rio sedan manakala Forte diberi nama baharu K4.

Bukan sahaja nama baharu, reka bentuk juga jauh berbeza dan mirip K3 Mexico selain gaya badan ala fastback Stinger.

Diletak bersebelahan, K3 dan K4 mirip adik beradik kembar kecuali berbeza segmen dan garis badan K4 yang lebih dramatik.

Reka bentuk K4 diilhamkan dari falsafah Opposites United dengan tema Power to Progress dan para pereka merujuk Twist Logic untuk bentuk yang unik.

Bahagian depan tampil dengan lampu besar menegak pada hujung kanan dan kiri. Nyalaan huruf T bersama Lampu Nyalaan Siang (DRL) membangkitkan lagi gaya sofistikated.

Bahagian depan sebenarnya ringkas dan tidak rumit namun berjaya menonjolkan watak tersendiri.

Bahagian tepi lebih unik ibarat cantuman panel-panel yang berbeza. Tiang C dan cermin belakang mengingatkan kepada Stinger. 

Bahagian belakang meneruskan gaya yang dilihat pada K5 terbaru dengan lampu menegak. 

Menjengah ke bahagian dalam, papan pemuka nampak senada dengan K3 dan dibezakan dengan bentuk yang lebih bersahaja.

Bahagian pemandu membawa watak teknikal manakala bahagian penumpang dengan ciri keselesaan dan kemanusiaan. Perhatikan warna panel pintu pemandu dan penumpang sisi yang berbeza.

Kia memang sengaja membawa dua watak berbeza di antara pemandu dan penumpang. Selain itu, butang dan suis kawalan dibuat sekurang mungkin.

Kia belum berkongsi maklumat terperinci memandangkan K4 bakal dilancar secara rasmi pada 27 Mac di New York, Amerika Syarikat.

Google ads
Back to top button