
VICTORY – EASY RIDER GAYA AMERIKA
Bagi anda yang mahukan kelainan, motosikal jenama dari Amerika Syarikat (AS) ini mungkin sesuai untuk memenuhi selera tersebut. Terima kasih kepada anak syarikat Kumpulan Naza, Harmony Fabulous Sdn. Bhd. (Harmony Fabulous) kerana melancarkan jenama motosikal Victory yang cukup bergaya baru-baru ini.
Secara ringkasnya, Victory memang terkenal dengan motosikal jenis easy rider (juga dikenali sebagai cruiser dan baggers) bersaiz besar. Lebih menarik lagi, ia menggabungkan gaya moden dan enjin V-Twin yang menawarkan kuasa mengujakan.
Bukan sekadar berkuasa, enjin dengan sistem penyejuk udara itu juga mesra pengguna apabila memastikannya ia tidak terlalu panas, biarpun telah ditunggang dalam tempoh tertentu. Pastinya ini menjadi salah satu unique selling points berbanding pesaing yang ada di pasaran sekarang.
Victory Motorcycles ditubuhkan pada tahun 1998 oleh Polaris yang juga merupakan pengeluar ATV dan jentera salji (snowmobile). Produksi penuh motosikal ini dimulakan dengan model V92C pada musim panas 1998 di Spirit Lake Iowa, AS. Setahun kemudian, ia memenangi anugerah Motorcycle Cruiser of the Year oleh media AS.
Sejak itu, Victory Motorcycles terus meluaskan rangkaian modelnya untuk menarik lebih ramai peminat cruiser dan touring kepada jentera keluarannya.
Untuk pasaran Malaysia, motosikal Victory ditawarkan menerusi 12 model iaitu Cross Road Classic, Cross Country, Ness Cross Country Limited Edition, Vision Tour, Cross Country Tour, Vegas 8-Ball, High-Ball, Hammer 8-Ball, Boardwalk, Jackpot, Judge dan Hammer S.
Semua jentera itu dipacu oleh enjin V-Twin bersesaran 1,731cc yang dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan overdrive dan hadir bersama talaan berbeza.
Biarpun berada dalam segmen sama, Victory bagaimana pun membezakan dirinya dengan model Harley-Davidson apabila lebih berorientasikan prestasi. Sekali gus membuatkannya akan diminati oleh kelompok lebih muda.
Bagi memberikan pengalaman terbaik kepada para pelanggannya, Naza telah melabur sebanyak RM5 juta untuk ruang pameran berkeluasan 6,00 kaki persegi.
Terletak di Glenmarie, Shah Alam premis itu bertindak sebagai pusat 3S yang diselia oleh pasukan jualan dan teknikal berpengalaman. Ia juga menjadi pusat jualan pelbagai barangan Victory yang eksklusif.
Jika berminat, jentera Victory ditawarkan pada harga bermula RM97,800 untuk model Victory Vegas 8-Ball hinggalah RM199,800 bagi Vision Tour Ness Edition. Semua model Victory hadir dengan jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan, pertama dalam segmen motosikal tempatan.
Pemilik Victory akan menerima keahlian Victory Riding Group (VRG) secara automatik dan menikmati pelbagai keistimewaan. Sebagai contoh, diskaun atas pembelian barangan, aksesori dan alat ganti. Ahli VRG juga boleh menyertai pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh pihak Victory Malaysia. Memang best jadi orang kaya…
[hr]Galeri