Artikel Pilihan

SUV PERODUA X CONCEPT. APA YANG KITA TAHU SETAKAT INI?

SHARE

Sebaik sahaja Perodua Aruz dilancarkan beberapa bulan yang lepas, ia memberi isyarat pada rakyat Malaysia yang Perodua sebenarnya tahu membuat kereta jika ada pasaran yang baik.

Aruz dan Rush sebenarnya dibuat di kilang yang sama, menggunakan barisan produksi yang sama, cesi dan enjin yang sama. Apa yang membezakan antara kedua dua model ini ialah aksesori dan juga alat keselamatan yang dilengkapkan oleh Aruz dan Juga Rush.

Teknik menghasilkan model berlainan dengan varian yang berlainan ini dipanggil “heijunka” dan biasa diamalkan oleh syarikat yang mempunyai pengetahuan mendalam mengenai Toyota Production System (TPS)

Aruz sebenarnya sebuah SUV dengan 7 kapasiti tempat duduk ada pasarannya yang tersendiri. Apabila cesi “ladder frame” digunakan, Aruz sedia untuk membawa beban yang lebih berat dan melalui permukaan jalan yang lebih mencabar.

Masalah utama cesi “ladder frame” ialah ia sedikit berat berbanding dengan cesi monocoque. Namun masih ada lagi ruang untuk perodua membangunkan sebuah SUV yang memuatkan 5 tempat duduk, lincah dan menggunakan cesi yang yang lebih ringan.

Pada tahun lepas, Perodua telah menunjukkan konsep sebuah SUV dengan tema X-Concept yang pada kami mungkin ada beberapa ciri tidak akan sampai ke bilik pameran kereta.

Ciri suicide door pada kami mungkin sama sekali tidak akan dibuat dan rekaan tempat duduk dan papan pemuka yang nampak minimalis. Namun sejarah mungkin berulang, kerana pada tahun 2010 Perodua pernah memperkenalkan konsep Perodua Bezza pada KLIM 2010. Akhirnya Perodua Bezza mula dilancarkan pada tahun 21 Julai 2016.

Berbalik semula pada Perodua X Concept, maka kami membuat tanggapan bahawa ini adalah asas rekaan SUV terbaru Perodua untuk model yang lebih kecil daripada Aruz. Pada hemat kami, pelanggan yang masih bujang (Iklan: Saya bujang 3) tidak akan membeli Aruz.

Memandangkan SUV semakin diminati oleh pasaran, maka Perodua sudah pasti akan menggunakan segala sumber yang ada untuk merekabentuk sebuah SUV kompak yang baharu.

Persoalan yang timbul disini ialah apakah cesi yang akan digunakan dan enjin manakah yang akan digunakan oleh model X Concept ini?

Pasaran yang sedia ada seperti Honda HR-V, Toyota CH-R, Mazda CX-3 dan model yang pasti akan keluar iaitu Proton X50 masing masing dibina berdasarkan cesi yang terkini dan juga unit trenkuasa yang bertenaga.

Toyota telah memperkenalkan cesi baharu yang dikenali dengan nama Toyota New Global Architecture (TNGA) dan buat masa sekarang hanya ada 2 model terbaru Toyota yang menggunakan cesi ini iaitu Toyota CH-R (MC Platform) dan juga Toyota Camry (K Platform) walaupun kedua dua model ini menggunakan enjin “recycle” dari model terdahulu.

Daihatsu selaku rakan teknikal Perodua pula menerima tempias apabila turut menerima teknologi Daihatsu New Global Architecture.

Adakah teknologi TNGA dan DNGA ini akan sampai ke Perodua secepat mungkin?

Hanya masa yang akan menentukannya. Namun Perodua bukanlah budak hingusan yang boleh dipandang lekeh sebelah mata.

Keupayaan Perodua membangunkan cesi Myvi D20N yang diolah semula dari cesi D24T (Myvi Lagi Best) ternyata membuka mata banyak pihak.

Ujian jalanan di laluan berselekoh dan berbukit yang dilakukan oleh pihak kami membuktikan cesi ini memiliki aura tersendiri. Bahagian belakang cesi ini sangat tertib dan tidak melibas seperti model lama. Kalaulah Myvi mengeluarkan model transmisi 6 kelajuan manual…

Apabila model Bezza keluar, sekali lagi ia membuatkan pihak media terkesima dengan usaha yang dilakukan oleh pasukan R&D Perodua.

Siapa sangka cesi Perodua Axia yang kontot  yang berasal dari cesi Daihatsu Global A Segment Platform mampu diolah menjadi sebuah sedan.

Walaupun menerima kritikan dengan gelaran punggung “tonggek” dan tidak menutup aurat, Perodua dengan pantas mengubahsuai bampar belakang agar sedikit labuh dan nampak sedap dipandang.

Jadi kita tunggu, adakah cesi Myvi atau Axia yang akan diolah menjadi SUV kompak Perodua nanti?

Persoalan kedua pula ialah pilihan enjin yang boleh ditawarkan pada pengguna nanti. Perodua memiliki enjin 1000cc 3 silinder VVT-i, 1300cc 4 silinder dual VVT-i, dan juga enjin yang paling besar iaitu 1500cc 4 silinder dual VVT-i.

Ketiga tiga enjin kelihatan sesuai untuk dipadankan dengan SUV X Concept yang terbaru dengan syarat unit transmisi yang hendak dipadankan mestilah bersesuaian dengan berat kenderaan.

Almaklumlah orang Malaysia ini malas nak tukar gear, sekali dia masuk gear D dia akan tekan habis. Walaupun wujud pilihan gear D3 dan D2 untuk membantu pecutan, bagi mereka susah nak tukar.

Bila pecutan berkurang, maka akan keluar komen enjin tak power dan gearbox tak cukup pick-up.

Untuk pengetahuan pembaca sekalian, lessen mengilang kenderaan untuk Perodua adalah tertakluk dengan syarat yang enjin Perodua tidak boleh melebihi 1500cc.

Perodua mengambil langkah proaktif dengan memperkasakan barisan enjin yang sedia ada dari teknologi karburetor, EFI, VVT, VVT-i dan akhir sekali dual VVT-i.

Namun terdapat satu lagi kaedah yang boleh digunakan oleh Perodua bagi menghasilkan enjin yang berkuasa tanpa perlu meningkatkan sesaran enjin.

Caranya ialah dengan menggunakan kaedah pendesak turbo yang sudah mula diterima syarikat automotif lain. BMW, Honda dan juga Lexus sendiri mula mengeluarkan enjin sesaran kecil yang digandingkan dengan pengecas turbo. Ia merupakan solusi murah dan mudah untuk Perodua menghasilkan enjin yang lebih berkuasa.

Sebagai contoh, Astra Daihatsu Motor Indonesia menunjukkan keupayaan mereka menghasilkan varian Daihatsu Ayla Turbo Concept yang mampu menjana 197 kuasa kuda daripada enjin empat silinder 1200cc 3NR dual VVT-i.

Secara relatif, kuasa enjin ini hamper menyamai kuasa enjin 2500cc SkyActiv G milik Mazda. Sudah tentu ia dilakukan dengan mengubahsuai pelbagai mekanisme yang ada pada enjin asal tersebut bagi menghasilkan kuasa enjin yang sangat menakjubkan.

Model ini dipamerkan semasa Gaikindo Indonesia International Autoshow 2018.

Jadi kami tinggalkan teka teki untuk dilengkapkan oleh pembaca mengenai potensi cesi dan enjin yang akan digunakan oleh SUV X Concept terbaru oleh Perodua.

Cesi Myvi D20N atau cesi Axia? Enjin manakah yang akan digunakan nanti? Rasanya mungkin ada turbo. Kalau rekabentuk macam Daihatsu T-Rec ini pun cantik, manis dan mengancam

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button