
SUZUKI KELUAR DARI PASARAN CHINA – PINDAH SEMUA 50% EKUITI KEPADA CHANGAN AUTOMOBILE
Perubahan pesat yang melanda semua segmen kenderaan di China dilihat memaksa Suzuki untuk keluar dari pasaran automotif terbesar dunia itu.
Suzuki baru-baru ini dilaporkan telah memindahkan semua ekuitinya sebanyak 50 peratus dalam Chongqing Changan Suzuki kepada Changan Automobile.
Sekitar 25 tahun lalu, Suzuki melancarkan model kompak Alto di China. Sejak itu ia cuba untuk berkembang di pasaran tersebut. Namun, disebabkan perubahan selera pengguna yang lebih gemarkan kereta besar, Suzuki mengambil keputusan untuk memindahkan semua ekuitinya.
Bagi memastikan peralihan dapat dijalankan dengan lancar, pengurusan Changan Suzuki akan terus menjadi anak syarikat Changan Automotive 100 peratus dan presiden yang dihantar oleh Suzuki perlu meletak jawatan.
Biarpun begitu, Suzuki akan terus memberi lesen produksi dan jualan melibatkan model-model Suzuki kepada Changan Suzuki. Pemindahan ekuiti juga didakwa tidak memberi sebarang kesan kepada prestasi kewangan syarikat pada tahun ini.
Di peringkat global, Suzuki mempunyai pelan untuk meningkatkan jualan di pasaran India kepada 5 juta unit setahun menjelang tahun 2030.