Buletin

PERODUA ALZA FACELIFT 2018 – 4 VARIAN, BERMULA RM51,490 SEUNIT

Perodua hari ini memperkenalkan Alza baharu ke pasaran tempatan secara rasmi.

MPV tujuh tempat duduk mampu milik itu ditawarkan dengan varian dan harga berikut:

  • Perodua Alza Standard (MT) RM51,490
  • Perodua Alza Standard (AT) RM54,290
  • Perodua Alza SE (AT) RM56,890
  • Perodua Alza Advance (AT) RM62,690

harga di atas jalan (OTR) tanpa insurans untuk Semenanjung Malaysia.

Enjin 1.5 liter

Semua varian ini dikuasakan oleh enjin 1.5 liter 3SZ-VE DVVT yang dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan ataukotak gear automatik empat kelajuan.

“Perodua Alza terbaharu masih mengekalkan keselesaan, praktikaliti, fleksibiliti dan ruang yang cukup untuk tujuh orang. Ini menjadikannya MPV pilihan rakyat Malaysia selama hampir sedekad,” kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Dato’ Dr Zahari Husin.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2009, lebih 344,200 unit Alza telah dijual.

Ciri-ciri baharu

Antara ciri baharu pada semua varian ialah grafik panel instrumen dan kluster tengah yang direka semula dan kunci kawalan jauh two-motion (tekan sekali untuk membuka pintu pemandu, tekan dua kali untuk membuka kesemua pintu). Aliran penyaman udara ke barisan tempat duduk ketiga juga telah ditambah baik.

Semua varian dilengkapi lampu kabus depan, spoiler belakang, stereng dibalut kulit, filem tingkap keselamatan dan solar, sensor belakang serta aloi 15 inci dengan kemasan warna perak pada varian Standard dan titanium pada varian SE dan Advance.

Varian Standard dan SE dipasang dengan sistem audio baharu dengan fungsi USB dan Bluetooth.

Manakala varian SE dan Advance tampil lebih menonjol dengan bampar hadapan baharu, gril bersama bar berkembar dan skirting sisi. Bampar belakang dan kemasan baru turut menyerlahkan bahagian belakang Alza.

Ciri-ciri lain pada varian SE dan Advance adalah rekaan tempat duduk kulit baharu dan sensor hadapan. Sementara varian Advance dilengkapi monitor pada bumbung dan sistem multimedia dengan skrin sentuh berasaskan Android dengan fungsi pintar (Smart Link), Bluetooth, navigasi dan kamera undur.

Aksesori GearUp

Perodua buat kali pertamanya akan memperkenalkan pelbagai aksesori GearUp untuk Alza baharu.

Untuk ciri keselamatan, Alza 2018 dilengkapi dengan dua beg udara hadapan, ABS dengan EBD, Bantuan Brek dan cagak ISOFIX untuk tempat duduk kanak-kanak di barisan tengah. Ini membolehkannya menerima penarafan keselamatan empat bintang oleh ASEAN NCAP.

Tempahan Alza baharu kini dibuka dan akan berada di semua bilik pameran Perodua di seluruh negara secara berperingkat mulai 6hb September.

Alza didatangkan dalam warna kelabu (warna baru dan eksklusif untuk varian SE dan Advance sahaja), putih, perak, ungu dan biru. Ia juga hadir dengan jaminan selama lima tahun/150,000km (mana-mana tiba dahulu).

GALERI 

Google ads
Back to top button