Buletin

SUZUKI V-STROM 250SX TIBA DI PASARAN JEPUN OGOS INI – SETERUSNYA, MALAYSIA?

Selepas dilancarkan di India, Suzuki baru-baru ini mengumumkan bahawa Suzuki V-Strom 250SX bakal memasuki pasaran Jepun pada 24 Ogos ini.

Untuk rekod, ia adalah pasaran keempat menerima jentera tersebut setelah India, Indonesia dan Filipina.

Jentera sport adventure itu hadir dengan kluster lampu utama LED berbentuk octagon mirip model Gixxer 250.

Selain itu, motosikal dengan berat 167 kg tersebut dilengkapi lampu belakang LED, windscreen tinggi, pelindung buku jari, ruang simpanan serta hendal bar boleh laras.

Ciri-ciri menarik lain termasuk roda hadapan berukuran 19 inci manakala roda belakang 17 inci, didatangkan kluster paparan digital, sistem dual ABS, port ekzos berkembar, fork teleskopik pada bahagian hadapan dan suspensi mono-shock di belakang.

Ia turut dilengkapi Suzuki Easy Start System, Suzuki Ride Connect, paparan WhatsApp dan SMS serta port USB.

V-Strom 250 SX dikuasakan enjin satu silinder 250cc dengan penyejukan minyak, SOCH 4-valve F1, menghasilkan 26hp pada 9,300rpm dan 22.2Nm pada 7,300rpm.

Kuasa nadi berkenaan disalurkan kepada tayar belakang menerusi transmisi 6-kelajuan.

Untuk harga pula, jentera itu ditawarkan pada harga kompetitif bermula Rs. 2.11 lakh atau bersamaan dengan RM11,732.

Melihat populariti jentera berkenaan di pasaran Asia, Malaysia kemungkinan bakal menjadi destinasi seterusnya untuk dipasarkan.

Google ads
Back to top button