Artikel PilihanBuletin

TAHUKAH ANDA BMW INI HANYA GUNA ENJIN 3 SILINDER SAHAJA?

Satu fakta yang tidak boleh dinafikan ialah BMW adalah jenama premium. Walau bagaimanapun, BMW bukan premium mewah seperti Mercedes-Benz, Jaguar atau Lexus.

BMW adalah kereta premium dalam bentuk sporti atau kereta premium yang sporti.

Sebelum Mercedes-Benz memasuki sempadan sporti seperti yang terdapat pada model generasi sekarang, perbezaan dengan BMW memang ketara.

Memasuki ke dalam BMW anda dapat rasa bahawa kereta ini adalah untuk pemandu manakala Mercedes-Benz pula menjurus kepada kereta penumpang mewah.

Itu identiti pertama BMW. Identiti kedua pula ialah pacuan roda belakang (RWD) dan memang lama BMW berpegang kepada konsep tersebut.

Pada tahun 2014, BMW memecahkan tradisi dengan melancarkan MPV kompak Active Tourer.

MPV ini menggunakan enjin depan, pacuan depan (FF) dan yang pertama seumpamanya di bawah jenama BMW.

Apa lagi yang baharu dalam sejarah moden BMW? Enjin tiga silinder.

Jauh sangat daripada enjin V8, V10 dan V12 BMW.

Ia bukan mustahil kerana BMW telah memperkenalkan enjin tiga silinder B38 pada tahun 2013 lagi.

Enjin B38 1.5 liter tiga silinder diperkenal bagi menggantikan enjin empat silinder N13 (Prince) yang dibangunkan bersama PSA Peugeot Citroën.

Enjin B38 ini adalah sebahagian daripada siri enjin modular BMW iaitu B48 (empat silinder) dan B58 (enam silinder).

Satu silinder bersamaan 500 cc dan bila didarab tiga jadi 1,500 cc seperti enjin B38 ini.

BMW WORLD MALAYSIA

Satu lagi perkara menarik walaupun saiz enjin kecil dengan hanya tiga silinder ialah model pertama yang merasmikannya.

Model pertama menggunakan enjin ini bukan biasa-biasa (bossku), ia dimuatkan pada kereta super hibrid BMW i8 tahun 2014.

BMW memang pandai.

Strategi ini telah menaikkan standard enjin B38 dan kemudian baru disusuli oleh Mini, BMW Active Tourer dan pelbagai lagi termasuk BMW F20 118i Sport dan BMW F30 318i.

Lebih manis, jika anda mahukan sebuah kereta dengan cukai jalan murah dan berkongsi enjin dengan BMW i8, cari model ini iaitu BMW F20 118i yang boleh dibeli dari BMW Malaysia.

Enjin 1.5 liter 3-silinder TwinPower Turbo pada F20 118i berkuasa 136hp dengan tork maksimum 220Nm.

Pecutan dari 0 hingga 100km/j dicapai dalam tempoh 8.7 saat. Penjimatan bahan api pula boleh tahan efisien iaitu 5.1 liter bagi setiap 100 km.

Kuasa dan prestasi tersebut biasa sahaja untuk sebuah BMW tetapi ia padan dengan cukai jalan dan harga bilik pameran iaitu RM 185,800.

Jika tidak mahukan model hatchback, ada sebuah sedan iaitu BMW 318i dengan enjin 1.5 liter 3-silinder TwinPower Turbo.

Harganya ialah RM 202,800 sahaja dan merupakan sedan termurah yang boleh anda beli dari bilik pameran rasmi BMW.

Jadi sekarang, BMW bukan sahaja tentang enjin V8, V10, V12 atau pacuan belakang.

BMW sekarang turut bercakap soal efisien, kereta pacuan depan dan MPV!

Tags
Google ads
Back to top button