
RAJA SUV TEMPATAN, HR-V HYBRID i-DCD DIPERTONTONKAN
Jika ada sebuah SUV yang berjaya mencorakkan pemilikan kenderaan jenis ini, ia adalah Honda HR-V. Kita pernah ada Pajero dan Land Cruiser yang digunakan taukey-taukey balak, kemudian Perodua Kembara menjadi SUV pertama mampu milik.
Dan apabila Toyota Rush hadir ia menambah pilihan kepada pembeli tempatan, namun kesemua barisan SUV ini dibina berdasarkan cesi ladder frame.
Sehinggalah segmen B SUV monocoque diperkenalkan menerusi Mitsubishi ASX, Subaru XV dan HR-V.
Mula dilancarkan pada tahun 2015, HR-V nyata menerima maklum balas memberangsangkan dengan jumlah jualan lebih 72,300 unit setakat 2018.
Angka itu membolehkan HR-V menguasai 81 peratus, seterusnya mengekalkan posisi No. 1 dalam pasaran SUV kompak di Malaysia selama tiga tahun berturut-turut.
HR-V varian Hybrid ini telah dilancarkan secara rasmi pada awal tahun lalu. Pelancaran ini menjadikan Malaysia sebagai satu-satunya negara yang menawarkan sistem hibrid pintar Dual-Clutch Drive (i-DCD) pada sebuah SUV selain untuk pasaran Jepun.
Sebelum ini, Honda Malaysia sudahpun menawarkan model Jazz Hybrid dan City Hybrid dengan teknologi i-DCD.
HR-V Sport Hybrid i-DCD dikuasakan oleh enjin 1.5L DOHC i-VTEC yang digabungkan dengan kotak gear klac berkembar 7 kelajuan dan Integrated High Power Motor.
Gabungan enjin dan motor yang dibantu oleh bateri lithium-ion itu mampu menawarkan kuasa seperti enjin bersesaran 2.0 liter. Sistem Sport Hybrid i-DCD juga membolehkan kenderaan menggunakan tenaga elektrik sepenuhnya dalam Mode EV.
Honda Malaysia menawarkan jamninan selama 8 tahun dengan perbatuan tanpa had untuk bateri hibrid. HR-V HR-V Sport Hybrid i-DCD dijual pada harga RM120,800 (atas jalan tanpa insurans).