Artikel PilihanBuletin

TAHUKAH ANDA HONDA HR-V HYBRID HANYA ADA DI MALAYSIA SELAIN JEPUN?

Honda Malaysia mungkin satu-satunya jenama yang gemar mengambil risiko memperkenalkan varian yang menongkah arus. Sejak ditubuhkan hampir 20 tahun yang lalu, Honda Malaysia sering membuat kejutan dengan memperkenalkan varian yang sangat “baru” untuk pasaran Malaysia.

Mereka adalah yang pertama memperkenalkan enjin hybrid menerusi model Civic.

Honda Malaysia juga adalah satu-satunya negara di luar Jepun yang menawarkan Civic Type-R FD2.

Antara contoh lain ialah kemasukan Honda Insight, Jazz dan CIty hybrid, Freed dan juga spesifikasi berbeza seperti CR-V dengan lima kerusi berbanding negara jiran dengan fungsi tujuh tempat duduk.

Ketika ramai peminat mengharapkan HR-V mendapat varian 1.5 turbo seperti di Eropah, Honda Malaysia pula mengambil keputusan sebaliknya. Mereka perkenalkan HR-V Sport Hybrid i-DCD dikuasakan oleh enjin 1.5L DOHC i-VTEC yang digabungkan dengan kotak gear klac berkembar 7 kelajuan dan Integrated High Power Motor.

Gabungan enjin dan motor yang dibantu oleh bateri lithium-ion itu mampu menawarkan kuasa seperti enjin bersesaran 2.0 liter. Sistem Sport Hybrid i-DCD juga membolehkan kenderaan menggunakan tenaga elektrik sepenuhnya dalam Mode EV.

Malaysia merupakan satu-satunya negara di luar Jepun yang menawarkan pilihan enjin ini.

Mula dilancarkan pada tahun 2015, HR-V nyata menerima maklum balas memberangsangkan dengan jumlah jualan lebih 72,300 unit setakat 2018. Angka itu membolehkan HR-V menguasai 81 peratus, seterusnya mengekalkan posisi No. 1 dalam pasaran SUV kompak di Malaysia selama tiga tahun berturut-turut.

“HR-V menjadi antara model penting yang menyumbang sebanyak 20 peratus kepada jualan keseluruhan Honda Malaysia. Di Honda, fokus kami sekarang adalah untuk memperkenalkan teknologi termaju ke dalam semua produk.

“Sebab itu kami memperkenalkan Sport Hybrid i-DCD, enjin turbo dan teknologi keselamatan Honda SENSING kepada pelanggan di Malaysia,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama.

GALERI

Tags
Google ads
Back to top button