Buletin

TAHUKAH ANDA JUALAN KIA MENINGKAT PADA MASA PASARAN UK JATUH?

Tahukah anda jualan kenderaan baharu di UK pada bulan September jatuh? Tahukah anda walaupun jatuh tetapi jualan kenderaan Kia meningkat?

Kia Motors (UK) Ltd. mencatatkan rekod jualan sebanyak 15,706 unit pada bulan September. Jumlah itu meningkat 2.4 peratus berbanding bulan sama pada tahun 2016. Suatu pencapaian hebat memandangkan jualan kenderaan baharu di UK jatuh sebanyak 9.3 peratus.

Jumlah jualan pada bulan September juga membantu Kia menguasai 3.69 peratus pasaran. Kejayaan ini disumbangkan oleh beberapa model utama seperti Sportage dengan jualan sebanyak 6,356 unit dan Picanto sebanyak 2,672 unit. cee’d juga popular dengan jualan sebanyak 1,667 unit.

Walaupun pasaran UK sedang mengalami suasana suram tetapi Kia percaya mereka mempunyai peluang positif pada bulan-bulan mendatang. Keyakinan Kia itu disumbang oleh model baharu seperti Stonic yang bakal bersaing dengan Honda HR-V, Mazda CX-3 dan Nissan Juke.

Pasaran SUV segmen B sememangnya besar di Eropah iaitu berjumlah 1.1 juta setahun atau kira-kira tujuh peratus daripada keseluruhan pasaran. Dijangka segmen itu bakal berkembang hingga lebih dari dua juta setahun menjelang 2020.

Kia Stonic diberi beberapa pilihan enjin iaitu 1.0 liter T-GDI berkuasa 120 PS atau 1.25 dan 1.4 aspirasi normal. Turut ditawarkan ialah enjin 1.6 diesel dengan tahap emisi paling rendah di antara barisan enjin yang ditawarkan.

Pengeluar dari Korea Selatan itu turut yakin apabila mereka ada lagi ‘sebutir peluru’ yang hebat iaitu Kia Stinger. Model terbaru ini bukanlah kereta penumpang biasa, ia berada dalam segmen GT atau gran turismo. Model saingan jenama premium itu akan mula dijual pada 1 Januari 2018.

BACA: INI MEMANG ANEH – KIA STINGER TIDAK AKAN DIJUAL SEBAGAI KIA DI KOREA

BACA: KIA STONIC – SAUDARA KEMBAR HYUNDAI KONA BAKAL DILANCARKAN TAHUN INI

Google ads
Back to top button