Buletin

TAMAN TEMA FERRARI LAND KINI DIBUKA SECARA RASMI

Selepas cucu kepada Enzo Ferrari yang juga Naib Pengerusi Ferrari, Piero Ferrari menekan butang simbolik pembukaan Ferrari Land, taman tema itu kini sudah dibuka secara rasmi kepada orang ramai.

Ia merupakan yang pertama seumpamanya di Eropah dan kedua di dunia selepas Ferrari World Abu Dhabi. Taman tema itu memiliki keluasan 70,000 meter persegi di dalam pusat peranginan PortAventura World, kira-kira sejam perjalanan dari Barcelona, Sepanyol.

Ferrari Land yang bernilai  €100 juta (RM470 juta) itu mungkin dilihat sebagai lokasi tumpuan buat peminat jenama kereta ports itu. Tetapi, ia sebenarnya boleh menjadi tempat di mana keluarga boleh berseronok bersama-sama.

Menjadi projek terbesar di PortAventura, Ferrari Land menawarkan 11 tarikan utama. Apa yang paling menarik pastinya accelerator menegak paling tinggi dan laju di Eropah, Red Force. Ia berketinggian 112 meter dengan kelajuan maksimum 180km/j dapat dicapai dalam masa hanya lima saat.

Sementara Racing Legends dan Flying Dreams bakal memberi pengalaman luar biasa kepada pengunjung. Ia membolehkan pengunjung terbang merentasi sejarah F1 dan GT. Ferrari Gallery pula menyediakan sejarah yang komprehensif tentang jenama Ferrari.

Anda boleh pergi ke pit stop atau merasaikan keterujaan memandu sebuah kereta GT dengan Maranello Gran Race. Banyak simulator untuk orang dewasa dan kanak-kanak disediakan.

Bagi mereka yang mahu lebih cabaran, pergi sahaja ke Thrill Towers. Dua menara berbentuk omboh itu menawarkan pengalaman terjunan bebas.

Tiket sehari ke PortAventura Park dan Ferrari Land untuk orang dewasa dan kanak-kanak berusia 11 tahun ke atas bermula €60 (RM282). Sementara tiket bagi kanak-kanak berumur 4 hingga 10 tahun pula ialah €52 (RM245).

PortAventura kini berjaya menarik sekitar empat juta pengunjung setahun. Ferrari Land dijangka menambah 25 peratus lagi daripada angka tersebut.

BACA: DIPENJARA SELEPAS TIPU INSURANS FERRARI (YANG SEBENARNYA IALAH TOYOTA MR2)

BACA: CUBAAN SELUDUP KERETA EKSOTIK LAFERRARI DIGAGALKAN

GALERI

Google ads
Back to top button