Motosikal

POTENSI CUSTOM HONDA REBEL  

Tahun lalu, Honda yang merupakan peneraju pasaran motosikal berkuasa tinggi di Thailand telah melancarkan model Rebel secara rasmi.

Honda Rebel ialah sebuah model bobber custom yang tampil dengan gaya minimalis. Ia didatangkan dengan kerangka kukuh, tayar lebar dan rim berdiameter besar. Perumah aluminium lampu utama bulat pula nyata sepadan dengan gaya klasik lampu belakang  berbentuk empat segi.

Ia sesuai untuk ditunggang oleh sesiapa sahaja, terutama wanita kerana tempat duduknya hanya setinggi 690mm. Untuk membuatkannya kelihatan lebih ranggi, tempat duduk pembonceng boleh dikeluarkan.

Honda Rebel dikuasakan oleh enjin dua silinder bersesaran 500cc bersama sistem PGM-FI, selain dilengkapi brek ABS. Manakala maklumat tunggangan dipaparkan menerusi satu paparan speedometer LCD.

Model standard datang dengan tiga pilihan warna iaitu kelabu, merah dan hitam. Penghantaran kepada pelanggan sudahpun bermula pada suku pertama tahun ini.

“Pasaran motosikal berkuasa tinggi di Thailand terus berkembang. Buktinya, jumlah pendaftaran di antara Januari hingga Oktober 2016 mencecah 20,168 unit, peningkatan 17 peratus berbanding tahun sebelumnya. Sekali gus membolehkan perkongsian pasaran kami naik kepada 38 peratus.

“Namun, kami terus mencari jalan untuk menawarkan produk yang dapat memenuhi keperluan gaya hidup pengguna yang pantas berubah. Jadi, terimalah Honda Rebel. Kami yakin bobber ini akan mendapat sambutan memberangsangkan daripada generasi muda yang mahukan sebuah motosikal penuh gaya,” kata Presiden A.P. Honda Co., Ltd., Suchart Arunsaengroj.

Menyedari potensi Rebel, A.P. Honda Co., Ltd tampil di acara Bangkok International Motor Show 2017 baru-baru ini. Beberapa unit Rebel yang sudah siap diubah suai dipamerkan. Saya sempat meneliti kesemuanya dan harus mengakui bahawa Rebel ialah sebuah bobber yang menarik untuk dijadikan projek custom.

Tiada sebarang maklumat disediakan. Tetapi seperti yang anda boleh lihat, setiap Rebel ini hadir dengan tema tersendiri.

Walaupun ramai di antara kita yang berminat dengan Rebel ni, namun masih belum ada berita yang menyatakan ia akan dipasarkan ke Malaysia. Bertabah lah..

BACA: HONDA MONKEY EDISI ULANG TAHUN KE-50

BACA: HONDA PERKENAL JENTERA MODEN KLASIK CB1100 EX

GALERI

Google ads
Back to top button