Buletin

TATA GROUP BAKAL HASILKAN PESAWAT RISIKAN TENTERA. KINI DALAM PERINGKAT AKHIR UJIAN DI JERMAN

Konglomerat terkenal India, Tata Group dilapor akan membangun dan mengilang pesawat tentera selepas ia memperoleh hak cipta untuk menggunakan platform sebuah pesawat dari Jerman.

Tata kini dikatakan merancang untuk mengintegrasikan pelbagai jenis sensor dan menukarnya kepada aset pengumpulan maklumat risikan. Pesawat altitud tinggi dengan dua enjin itu didakwa mampu memainkan beberapa peranan termasuklah pemantauan sempadan.

Pesawat tersebut direka supaya boleh mendarat di atas rumput dan tar. Ia dijangka boleh terbang sejauh 1,800 batu nautika selama 6-7 jam dengan membawa kapasiti berat melebihi 1,000kg.

Kini berada dalam peringkat akhir ujian di Jerman, pesawat berkenaan dijangka tiba di India beberapa bulan lagi.

Ini merupakan kali pertama sebuah entiti swasta India menghasilkan pesawat gred ketenteraan sepenuhnya. Sehingga kini, pesawat tentera hanya dihasilkan oleh Hindustan Aeronautics milik kerajaan negeri.

Tata Advanced Systems (TASL) dijadual memaparkan keupayaan pesawat tersebut pada acara AeroIndia di Bengaluru minggu depan. Walaupun TASL tidak berkongsi sebarang perincian reka bentuk, namun pesawat itu dikatakan dibina berasaskan kepada Grob G 180 SPn.

Pesawat buatan Jerman itu dikatakan tidak pernah sampai ke saluran pengeluaran kerana berdepan masalah kewangan. Setakat ini, TASL masih belum menerima pesanan daripada mana-mana pihak.

Tetapi, eksekutif kanannya memberitahu pelaburan itu dibuat bagi memenuhi keperluan angkatan tentera India pada masa depan. Malah sebuah kilang pengeluaran bakal dibina nanti.

Google ads
Back to top button