Buletin

EV BAKAL ‘BUNUH’ KEI-CAR. APA LAA NASIB KERETA-KERETA COMEL TU?

Chevrolet Spark 2021 merupakan kereta paling kecil yang terdapat di pasaran Amerika Syarikat (AS) dengan memiliki ukuran 143.1 inci panjang  sahaja.

Begitupun, masih terdapat kereta lebih kecil dengan ukuran 134 inci panjang di negara Jepun yang lebih dikenali sebagai Kei-Car.

Kenderaan yang membawa maksud kereta ringan itu telah wujud sejak tahun 1949 lagi malah begitu popular dalam kalangan pengguna di negara terbabit.

Apa yang menarik sangat tentang kereta kecil comel tersebut, ia merupakan antara kenderaan cukup murah, mudah diselenggara, cukai pembelian rendah dan jarang sekali dieksport ke pasaran luar negara.

Sebagai contoh, pada tahun 2017, sebanyak tujuh daripada 10 kenderaan paling laris di Jepun merupakan Kei- Car seperti Honda N-Box dan Nissan Dayz.

Bahkan, model asal Suzuki Jimmy turut dikategorikan sebagai Kei-Car.

Tidak dapat dinafikan peredaran masa berlaku dengan pantas dan Kei-Car berdepan ancaman daripada kenderaan elektrik (EV).

Menurut laporan Bloomberg, berikutan perancangan Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga menyahkarbonkan negara terbabit menjelang 2050 yang bakal memberi laluan kepada EV.

Ia sekali gus membawa perkhabaran buruk dan bakal mengancam kenderaan penggunaan petrol seperti Kei-Car.

Biarpun, terdapat cara menjadikan kenderaan tersebut sebagai EV tetapi ia dianggar meningkatkan kos jualan kira-kira AS$9,600 (RM38,817) hingga AS$19,200 (RM77,635).

Peningkatan tersebut adalah sebanyak dua kali ganda berbanding harga asal kenderaan itu.

“Mampu milik dan memberi kemudahan kepada para pengguna merupakan nadi kepada kereta kompak.

“Kereta-kereta ini merupakan aset penting kepada mobiliti yang berfungsi sebagai infrastruktur dan medium menggantikan pengangkutan awam,” kata Ketua Persatuan Kenderaan Mini Jepun, Hitoshi Horii.

Kei-Car bukan hanya kenderaan yang terdapat di bandar-bandar dengan mencilok di laluan sempit tetapi digunakan kawasan luar bandar berikutan kekurangan pengangkutan awam. – carbuzz.

Google ads
Back to top button