Motosikal

VESPA SPRINT ADVENTURE – RM17K, TERMASUK 3 AKSESORI!

Sedar atau tidak, Vespa sudahpun berusia 70 tahun sejak Piaggio menfailkan paten rasmi Vespa pada 23 April 1946. Sepanjang tempoh tersebut, lebih 18 juta unit Vespa yang telah berjaya mencetuskan fenomena budaya itu dijual di seluruh dunia.

Sempena sambutan 70 tahun itu, pengedar rasmi skuter Vespa di Malaysia Naza Premira Sdn. Bhd. (Naza Premira) mengumumkan tawaran terbaharunya,  Vespa Sprint Adventure ke pasaran tempatan.

Bukan itu sahaja, Siri Jelajah Vespa Sprint Adventure Asia Tenggara juga akan diperkenalkan. Program itu melibatkan perjalanan dari Vietnam menuju ke Singapura dan disertai oleh sekumpulan wartawan, selebriti, jurugambar serta peminat tegar Vespa.

Menjadi model yang telah diubah suai daripada Vespa Sprint 150cc ABS, jentera edisi terhad ini direka dengan gaya lebih menyerlah. Ia dilengkapi kemasan hitam matt yang sporty dan aksesori untuk mengembara.

Hadir dalam dua warna menarik iaitu hijau (Green Matt) dan krim (Desert Sand), ia jelas mencetuskan rasa adventure yang sememangnya sinonim dengan jenama Vespa.

Sama seperti Vespa Sprint 150cc ABS, jentera tersebut dikuasakan oleh unit enjin Piaggio i-Get baharu empat lejang silinder tunggal bersesaran 150cc. Enjin dengan sistem penyejukan udara, Electronic PFI (Port Fuel Injection) dan tiga injap itu mampu menjana kuasa sekitar 12.7hp @ 7,750rpm dengan tork puncak 12.8Nm @ 6,500rpm.

Kuasa itu kemudian disalurkan ke roda belakang menerusi kotak gear CVT. Tampil dengan roda bersaiz 12 inci, bahagian hadapannya dilengkapi sistem brek ABS saluran tunggal untuk meningkatkan keselamatan penunggang.

Roda hadapan menggunakan khidmat link arm sebelah dengan pegas gegelung dan monoshock dua aksi. Manakala suspensi belakang boleh dilaras kepada empat posisi.

Skuter yang mendapat piawaian Euro3 itu kemudian dibekalkan dengan tangki minyak berkapasiti sembilan liter.

Vespa Sprint Adventure ditawarkan pada harga asas RM17,000 seunit termasuklah tiga aksesori yang anda boleh lihat dalam gambar ini iaitu carrier belakang, hadapan dan cermin hadapan yang digelapkan.

Bagi memeriahkan lagi sambutan ulang tahun ke-70 Vespa, peraduan di laman sosial Facebook dan Instagram turut diadakan. Orang ramai berpeluang merebut pelbagai hadiah menarik seperti percutian ke Bali, model maniatur Vespa, kemeja-t edisi terhad serta banyak lagi.

Google ads
Back to top button