Artikel Pilihan

TEKNIK MEMOTONG DENGAN SELAMAT DAN PANTAS. JANGAN PANDU MELULU

Kejadian Perodua Bezza yang memotong dan menyebabkan kemalangan di laluan Tapah ke Tanah Rata, Cameron Highland membuatkan penulis terfikir adakah pemandu Bezza tersebut tahu memandu dengan laju? Atau dia hanya memandu dengan semberono berdasarkan keberanian sahaja? Memandu di jalan raya persekutuan yang memiliki 2 lorong bertentangan sahaja adalah sangat berlainan dengan memandu di lebuh raya 2 lorong.

Memandu di kawasan berbukit dengan selekoh berselirat pula memerlukan teknik dan cara berfikir yang sangat berlainan dengan memandu di lebuh raya. Kegagalan anda mengadaptasi cara pemanduan boleh mengakibatkan kemalangan maut, satu perkara yang kita cuba elakkan.

1. Cara kedudukan pemandu – sekiranya anda memandu di laluan berselekoh, amat penting kedudukan tangan dengan stering perlu diubah. Pastikan pergelangan tangan boleh diletakkan di atas stering dan ketika memandu pastikan anda memegang stering dengan 2 tangan pada kedudukan pukul 3 dan 9 dengan lengan masih bengkok.

Ini memastikan anda mendapat kawalan penuh pada stering dan boleh melalui selekoh tajam dengan mudah dan senang.

2. Baca papan tanda – sudah pasti anda jarang mengambil tahu berkenaan maklumat yang cuba disampaikan oleh papan tanda terutama ketika melalui jalan berselekoh dan berbukit. Antara perkara yang anda perlu ambil tahu ialah

21. amaran jalan berbahaya (tanda seru) , kemungkinan ada bahaya

2.2 amaran selekoh tajam yang biasanya lebih besar daripada biasa (biasa dipasang di selekoh),

2.3 amaran kawasan kemalangan

2.4 amaran jalan licin ketika hujan

2.5 peringatan untuk menggunakan gear rendah ketika menuruni bukit

Kegagalan anda untuk mematuhi amaran ini boleh menyebabkan kenderaan anda terbabas (samaada understeer atau oversteer) ketika melalui kawan tersebut. Sama seperti litar, amaran ini dipasang untuk mengingatkan pemandu agar jangan melampaui had fizik kenderaan.

3. Baca garisan jalan – sekiranya anda melalui selekoh tajam, garisan jalan akan berubah menjadi berkembar menandakan anda dilarang sama sekali memotong disebabkan selekoh tersebut ada titik buta. Anda tak nampak kereta yang datang dari arah hadapan dan kalau memotong juga ia bagaikan memperjudikan nyawa

4. Anggarkan titik buta – selain dari selekoh tajam, titik buta juga wujud di jalan berbukit walaupun jalan tersebut lurus. Jadi jangan ingat jalan lurus anda boleh memotong dengan yakin. Jika anda sedang mendaki, titik buta anda adalah dari hadapan kerana anda tidak dapat melihat kenderaan lain yang datang dari arah bertentangan.

5. Membrek dan mengambil selekoh – salah satu perkara yang sering dicuba oleh pemandu baru ialah memotong di jalan lurus sebelum jalan mulai membelok. Jadi anda memotong, masuk semula ke dalam lorong, tekan brek dan mulai membelok.

Aktiviti brek dan membelok ini dikenali sebagai trail braking, namun tak semua pemandu mahir termasuklah penulis. Sekiranya anda terlalu laju, membrek ketika selekoh akan memberi beban yang besar pada tayar depan. Tayar depan akan hilang grip mekanikal dan kereta mulai terbabas jika anda terlebih brek ketika selekoh.

Masalahnya jika anda understeer dan mulai memasuki laluan bertentangan, besar kemungkinan kemalangan akan berlaku. Kalau anda tidak biasa dengan laluan tersebut, jangan amalkan trail braking.

6. Fahami keupyaan kenderaan anda – selain dari kekuatan enjin dan tork untik memecut pantas, salah satu kriteria lagi ialah memahami had brek kereta anda. Sekiranya anda membawa ramai penumpang, prestasi pecutan dan brek kereta anda tidak akan sama sewaktu anda memandu seorang diri.

7. Membrek di garisan lurus – sebaiknya amalkan membrek di garisan lurus di mana kereta kekal stabil walaupun anda membrek dengan lebih agresif. Tekan brek sehingga kereta mencapai kelajuan yang sesuai untuk memasuki selekoh dengan selamat. Namun ingat pastikan anda masuk pada halaju yang betul, kerana jika terlalu laju sistem ESC pun gagal menyelamatkan anda

8. Laluan memotong – sesetengah kawasan menyediakan laluan memotong di kawasan mendaki. Ketika ini ambil peluang untuk memotong kenderaan berat dengan cepat. Pastikan anda menggunakan gearyang lebih rendah (D2,D3) bagi gear auto ataupun gear 3 atau 4 bagi kereta manual bagi menggandakan tork pada tayar

Selesai memotong berikan laluan pada kenderaan lain yang lebih laju, jangan pentingkan diri sendiri.

9. Isyarat dari lori – sesetengah pemandu lori amat bertimbang rasa, disebabkan mereka berada lebih tinggi mereka akan nampak dengan jelas keadaan jalan. Jika jalan selamat untuk memotong, pemandu lori akan menyalakan lampu isyarat ke kiri. Lepas memotong jangan lupa ucapkan terima kasih pada abam lori dengan menekan hon 2 kali.

10. Jangan memotong – jika anda baru menyesuaikan diri dengan kereta baru dan jalan yang baru dilalui. 2 faktor ini jika bergabung akan menjadi punca kemalangan. Jika keadaan jalan bertambah licin akibat hujan, adalah lebih baik pandu dengan lebih perlahan untuk mengelakkan fenomena aquaplaning.

Antara kawasan yang dilarang memotong ialah

10.1 – dihadapan sekolah kerana terdapat kenderaan keluar masuk dan pelajar yang ramai

10.2 – di persimpangan jalan, banyak kereta yang keluar masuk dari simpang

10.3 – atas jambatan biasanya menggunakan garisan berkembar

10.4 – dalam terowong

Dipetik dari laman FB PDRM

11. Cara memotong kenderaan lain dengan betul:

-pastikan tiada kenderaan dari arah bertentangan dan jarak yang selamat untuk memotong

-tukar gear rendah untuk dapatkan momentum dan bagi signal ke kanan

-periksa cermin sisi jika ada kenderaan lain yang sudah memotong, jika ada bagi peluang padanya untuk memotong

-potong kenderaan perlahan dengan cepat dan masuk semula ke lorong asal

– tukar semula pada gear asal

Google ads
Back to top button