Artikel Pilihan

TEKSI BYD INI TELAH DIPANDU SEJAUH 622,000KM

Sebuah teksi elektrik yang dihasilkan oleh BYD telah dipandu oleh pemandu teksi sejauh 621,731km dalam tempoh 5 tahun selepas teksi tersebut didaftarkan. Menurut satu hantaran Facebook yang dimuatnaik oleh Tuan Tan Aik Keong, dia terjumpa secara tidak sengaja dengan teksi tersebut sewaktu lawatannya ke Shenzen, China baru-baru ini.

Malah pemandu teksi ini turut berbangga dan menunjukkan yang State of Charge bateri yang dipasang pada teksi ini masih berada dalam keadaan yang baik iaitu mengekalkan 75% SOC dan berupaya dipandu sejauh 300km untuk sekali pengecasan penuh, walaupun telah dipandu sejauh 621,731km.

Mengikut maklumat yang diberikan oleh pemandu teksi tersebut, dalam keadaan baru teksi ini boleh dipandu sejauh 400km untuk satu pengecasan penuh. Berdasarkan rekaan meter yang digunakan, penulis mendapati ia adalah BYD e6 generasi pertama yang dilancarkan pada tahun 2009

e6 datang dengan saiz 4560mm panjang, lebar 1822mm dan juga jarak antara roda ialah 2830mm. Model tertinggi dibekalkan dengan bateri Lithium ion Phospahte sebesar 80kWh. Model ini ditawarkan dalam beberapa varian seperti 101hp, 155hp AWD, 215hp dan 255hp AWD

Bateri ini membolehkan e6 dipandu sejauh 400km, memiliki jangka hayat 4000 pengecasan dan pengecasan pantas DCFC ke 80% boleh dibuat dalam masa 15 minit sahaja. Kebanyakan model e6 digunakan sebagai fleet vehicle seperti teksi, kereta peronda dan kereta sewa.

Google ads
Back to top button