Buletin

PERODUA CATAT HASIL JUALAN 144,690 PADA SEPARUH PERTAMA 2023, BEZZA PALING LAKU

Perodua mengeluarkan sebanyak 153,813 kenderaan dalam tempoh enam bulan pertama 2023, iaitu peningkatan sebanyak 17 peratus berbanding 131,641 unit pada 2022.

Pencapaian itu menyaksikan peningkatan sebanyak 13.6 peratus kepada 144,690 kenderaan bagi separuh pertama 2023 (1H23) berbanding 127,343 unit terjual dalam tempoh sama tahun lalu.

“Prestasi pengeluaran dan jualan lebih tinggi pada separuh pertama 2023 disumbangkan oleh bekalan komponen yang mencukupi serta peningkatan kecekapan pengeluaran di kilang kami,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif  Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

Tambah beliau, Perodua berada di landasan betul untuk memenuhi sasaran pengeluaran sebanyak 330,000 serta sasaran jualan sebanyak 314,000 yang ditetapkan untuk tahun ini.

Untuk rekod, Bezza merupakan model terlaris Perodua setakat tahun ini dengan jumlah didaftarkan antara Januari dan Jun adalah sebanyak 40,555 unit, diikuti Perodua Myvi (32,319 unit), sementara Perodua Axia merekodkan 28,199 unit.

Bagi perbandingan suku ke suku, Perodua mengeluarkan 69,013 kenderaan untuk suku kedua 2023 (2Q23), meningkat 1 peratus daripada 68,316 pada tempoh sama tahun lepas.

Pada 2Q23, Perodua merekodkan jualan 66,126 unit berbanding 65,719 unit pada 2022.

Google ads
Back to top button