
TEMPAHAN CIVIC TYPE-R DIBUKA DI UK
Seperti yang sudah sedia maklum, Honda telah pun mula mengambil tempahan model Civic Type-R 2015.
Tempahan model berkuasa tinggi yang amat ditunggu-tunggu itu bagaimanapun hanya dibuka kepada pengguna di United Kingdom. Untuk menempah, pelanggan perlu membayar deposit sebanyak £3,000 (RM16,000).
Honda dilihat agak berahsia mengenai model tersebut. Namun, ia dipercayai tidak jauh berbeza dengan model konsep Civic Type-R yang diperkenalkan kepada umum dalam acara Paris Motor Show 2014 awal tahun lalu.
Jentera tersebut dikatakan bakal dilengkapi dengan enjin empat silinder turbocharged berkuasa 280 PS (206 kW). Ia juga menjanjikan prestasi lebih baik berbanding model-model Type-R terdahulu termasuklah Integra, Accord, malah NSX.
Civic Type-R turut dilengkapi pelbagai inovasi kejuruteraan terbaik Honda. Antaranya termasuklah butang ‘+R’. Terletak di bahagian sisi stereng, ia menjanjikan pengalaman pemanduan yang cukup mengujakan.