Rolls-Royce Ghost Series II
Rolls-Royce hari ini melancarkan model terbaharu jentera ultra mewahnya, Ghost Series II di Kuala Lumpur.
Ditawarkan pada harga bermula RM2 juta seunit, Ghost Series II tampil dengan penambahbaikan dari segi teknologi, reka bentuk dan ciri-ciri kejuruteraan yang inovatif.
Sejak dilancarkan pada tahun 2009, model Ghost menjadi simbol terunggul kejayaan para usahawan di seluruh dunia dan di Malaysia.
“Para pelanggan di Malaysia telah menjadikan model Ghost dan Phantom sebagai penanda aras untuk kereta saloon super mewah. Ghost Series II meneruskannya dengan tahap eksklusiviti tempahan khas (bespoke), kualiti dan kesempurnaan lebih tinggi yang sememangnya sinonim dengan Rolls-Royce,” jelas Pengurus Besar Jualan, Rolls-Royce Motor Cars Asia Pasifik, Sven Ritter.
Ia memiliki segala kelebihan kereta-kereta Rolls-Royce sebelum ini yang menawarkan prestasi terbaik, kehalusan buatan tiada tandingan, eksklusiviti dan rekaan yang meyakinkan.
“Ghost sangat berjaya di Malaysia. Reputasi ini nyata membantu kami memenangi hati pelanggan di negara ini termasuklah di Malaysia Timur,” kata Pengarah Urusan Rolls-Royce Motor Cars Kuala Lumpur, Datuk Michael Ong.
Sejak Quill Motorcars Sdn Bhd dilantik sebagai pengedar sah Rolls-Royce Motor Cars di Kuala Lumpur pada tahun 2010, Rolls-Royce menyaksikan pertumbuhan perniagaan yang mapan di Malaysia menerusi rangkaian kenderaan ikonik: Phantom Standard Wheel Base, Phantom Extended Wheel Base, Phantom Coupe, Phantom Drophead Coupe, Ghost Standard Wheel Base, Ghost Extended Wheel Base dan Wraith.
Ghost Series II ditawarkan dalam dua varian iaitu versi Standard Wheel Base dan Extended Wheel Base. Kedua-dua menggunakan unit enjin V12 dengan 48 injap. Ia mampu menghasilkan kuasa mencecah 563bhp @ 5,250 rpm dan tork maksimum 780 Nm @ 1,500rpm!
Ghost Series II menampilkan proses naik taraf yang agak signifikan. Wajah hadapan Ghost telah dibentuk semula agar lebih kontemporari. Lampu utama LED telah direka semula dan disepadukan bersama lampu nyalaan siang (DRL).
Menjengah ke bahagian kabin, tempat duduk hadapannya telah direka semula. Ia melibatkan sokongan pada bahagian peha (sehingga 60mm) dan kedalaman yang boleh dilaras secara elektronik. Tempat duduk belakang pula diubah sudutnya untuk membolehkan perbualan di antara penumpang menjadi lebih selesa.
Fascia jam dan instrumen dial dipertingkatkan dengan penambahan krom matt pada bahagian tengah, gelung krom bersifat tiga dimensi dan rantai besi berkilat yang membangkitkan rasa rekaan jam yang premium.
Kulit asli menjadi ciri standard, ia merupakan kulit berkualiti tinggi yang turut digunakan pada model model Phantom. Kulit ini bagaimanapun telah diproses dengan tambahan masa selama empat jam untuk menyerlahkan struktur semula jadinya.
Pemilik kini boleh memilih untuk memasang kulit asli pada tiang A dan C. Malah, skop ubah suai Bespoke diperluaskan melalui pengenalan dua lapisan venir bersilang yang cantik iaitu Paldao dan Walnut Burr.
Menyentuh tentang peningkatan teknologi dan kejuruteraan, Ghost Series II dilengkapi sistem Night Vision yang berfungsi untuk mengenal pasti haiwan dan pejalan kaki.
Penambahbaikan sistem suspensi menyaksikan topang hadapan dan belakangnya telah direka semula. Sementara gear stereng baharu dan peredam boleh laras pula meningkatkan kemampuan kenderaan ketika membelok, apabila Dynamic Driving Package digunakan
Bearing hidraulik pada gandar belakang meningkatkan kualiti pemanduan dan kestabilan. Pada masa yang sama mengurangkan getaran dan bunyi bising di dalam kabin. Terutama pada kenderaan yang dilengkapi roda bersaiz 21 inci, pertama buat model Ghost Series II.
Semua model Ghost Series II menggunakan sistem Transmisi Bantuan Satelit sebagi ciri standard – ia merupakan teknologi yang menggunakan GPS dan data pemetaan bagi memastikan kenderaan sentiasa berada pada gaer yang betul ketika mengambil selekoh, memandu di lebuh raya dan di roundabout.
Agak-agak, siapa yang akan beli kereta ini?