Buletin

TEMPAHAN MG CYBERSTER KINI DIBUKA – HARGA BAWAH RM350K

SAIC Motor Malaysia secara rasmi membuka tempahan untuk MG Cyberster, roadster elektrik pertama jenama MG, dengan anggaran harga di bawah RM350,000.

Model ini yang menampilkan pintu gunting ikonik, bakal dipamerkan buat pertama kali kepada umum di Auto Car Expo (ACE) 2024 pada 26 dan 27 Oktober di Pusat Konvensyen Setia City.

Dari segi reka bentuk, ia mempunyai daya tarikan melalui model pintu gunting (Automatic Scissor Doors) sekaligus menggambarkan watak sebuah kereta sport.

Perincian lain termasuklah dilengkapi roda aloi 20-inci Jetstream, angkup brek merah dan lampu depan LED automatik.

Cyberster boleh didapati dalam empat warna menarik:

  • Dynamic Red
  • Camden Grey
  • Inca Yellow
  • English White

Bahagian dalam pula menawarkan tempat duduk sukan kulit yang dihiasi Alcantara, dengan stereng berbalut kulit Nappa, skrin sentuh pusat 7-inci, paparan pemacu 10.25-inci, serta dua skrin tambahan untuk pelbagai fungsi.

Kelengkapan lain turut disertakan adalah sistem audio Bose dengan 8-pembesar suara.

MG Cyberster hadir dalam satu varian, menggabungkan kuasa 503PS dengan tork 725Nm melalui pacuan semua roda (4WD) dan dua motor.

Dilengkapi bateri 77kWh, roadster ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.2 saat dengan jarak pemanduan sehingga 446km (WLTP).

Pengecasan turut dipermudahkan dengan pilihan pengecas AC 7kW, yang memerlukan sekitar 10.5 jam untuk pengecasan penuh dari 10% hingga 100%.

Dengan pengecas pantas 150kW DC, pengguna boleh mengecas dari 10% hingga 80% dalam hanya 38 minit.

Dari segi keselamatan, MG Cyberster dilengkapi sistem Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) yang dikenali sebagai MG Pilot, termasuk Amaran Perlanggaran Depan (FCW), Brek Kecemasan Automatik (AEB) dengan pengesanan pejalan kaki dan basikal, Adaptive Cruise Control (ACC), Bantuan Kesesakan Lalu Lintas (TJA), serta Amaran dan Bantuan Lorong (LDW & LKA).

Ciri tambahan termasuklah Blind Spot Detection (BSD), Lane Change Assist (LCA), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), dan Intelligent High Beam Assist.

Pengunjung ACE 2024 boleh memandu uji model-model lain seperti MG HS SUV, MG5 Sedan, MG4 EV, dan MG ZS EV SUV.

SAIC Motor Malaysia turut mengalu-alukan perbincangan dengan pakar mereka di ACE mengenai komitmen jenama ini dalam menerajui masa depan mobiliti mesra alam di Malaysia.

Google ads
Back to top button