MG CYBERSTER TIBA DI PASARAN UK PADA 2024. DWI-MOTOR, 304HP/528HP,800KM SEKALI CAJ
MG baru-baru ini mendedahkan secara rasmi reka bentuk MG Cyberster elektrik baharu yang bakal berada di pasaran UK pada 2024.
Menerusi imej disiarkan oleh SAIC, ia mempunyai dimensi 4,535mm panjang, 1,913mm lebar dan 1,329mm tinggi. Sebagai perbandingan, MG Cyberster lebih besar daripada Porsche 718 Boxster atau Mazda MX-5.
Di dalam kabin, tiada perincian lebih mendalam dinyatakan. Tetapi melalui maklumat yang dibocorkan oleh pemfailan kerajaan China, ia menggunakan stereng gaya Tesla selain terdapat beberapa skrin digital untuk infotainmen serta data pemanduan.
Cyberster dibina atas platform serba baharu yang turut diguna pakai oleh kereta konsep coupé E-Motion 2017. Ia sepatutnya menjadi kereta pengeluaran bateri ‘cell-to-pack’ dengan jarak gerak 800km.
Dari segi kuasa, MG Cyberster didatangkan dengan spesifikasi tunggal dwi-motor. Model motor tunggal peringkat permulaan menawarkan 304hp, manakala model dwi-motor berkuasa sehingga 528hp.
Dalam tempoh 16 tahun sejak diambil alih oleh SAIC, MG membuktikan bahawa jenama itu antara pengeluar terkemuka bagi kereta keluarga mewah. Hasilnya, mereka berjaya menjual lebih daripada 100,000 unit di Eropah tahun lepas.
Bagi MG Cyberster pula, MG menyasarkan model ini sekali lagi mendapat tempat di Eropah kerana yakin pelanggan akan tertarik dengan keupayaan teknikal model elektrik baharu itu.
GALERI: